Tuesday, March 16, 2010

Dakwah Fardiyah

MUQADIMAH

Menyeru manusia kepada Allah swt (Ad dakwah ila Allah) adalah kewajipan setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman kita ini, ia menjadi satu kewajipan yang utama kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’rif (memperkenalkan), disusuli pula dengan marhalah takwin (pembentukan). Di sana terdapat dakwah ammah (dakwah umum) yang dicernakan melalui pidato, ceramah-ceramah, majlis-majlis ilmu, media seperti buku-buku, risalah-risalah, suratkhabar, majalah, kaset dan lain-lain. Di sana juga terdapat dakwah fardiyah (individu) yang juga merupakan intipati dakwah yang terpenting. Apapun dakwah fardiyah memerlukan kepada kekuatan, sokongan, semangat, iltizam dan istiqomah untuk menjayakannya.

MARHALAH DAKWAH

Melalui penelitian dan kajian terhadap masyarakat hari ini, didapati bahawa kelemahan iman dan keampuhan jiwa, tidak memahami hakikat Islam dengan sebenarnya dan serangan pemikiran adalah faktor utama yang menyebabkan kaum muslimin berada dalam suasana yang ada pada hari ini. Ia juga merupakan faktor utama yang menyebabkan musuh-musuh Allah menjadikan sebahagian kaum muslimin sebagai kuda tunggangan mereka untuk memerangi Islam.

Kebanyakan muslimin pada hari ini sibuk dengan urusan dunia dan lalai daripada beribadat kepada Allah swt dan mentaati perintahNya. Mereka seperti sekumpulan manusia yang sedang nyenyak tidur. Di sebelah mereka terdapat api yang marak menyala dan akan membakar mereka sekiranya mereka masih lagi tidur. Di kalangan manusia yang sedang nyenyak tidurk, terdapat mereka yang tidak tidur dan menyedari apa yang berlaku di sekeliling., tetapi ntidak mampu memadamkan api yang sedang membakar.

Ketika itu kewajipan mereka ialah segera membangunkan manusia yang nyenyak tiidur supaya mereka menyedari keadaan masing-masing dan menjauhkan diri daripada api. Sebarang usaha untuk memperingatkan mereka yang tidur dari bahaya api akan menjadi sia-sia, jika dilakukan sebelum mereka terjaga dari tidur. Mereka tidak akan mendengar dan mentaati peringatan itu kerana mereka sedang nyenyak tidur. Jadi mereka mestilah dibangunkan terlebih dahulu barulah diberikan peringatan. Nah, inilah yang dinamakan dakwah dan usaha kearah menyedarkan manusia dari keteleduran dinamakan usaha dakwah yang mulia.

Di dalam pengertian ini Al Imam Asy Syahid Hassan Al Banna berkata:

“Jadilah kamu ketika (menyeru) manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia mengugurkan buah kepada mereka”.

1. MARHALAH PERTAMA:

Iaitulah marhalah yang awal yang mewujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (ta’aruf). Di marhalah ini, anda hendaklah benar-benar merasakan kepada dirinya bahawa anda mengambil berat tentang dirinya dan bertanya khabar apabila dia tidak ada dan lain-lain. Ketika itu anda tidak membincangkan apa-apa tajuk mengenai dakwah sehingga hatinya terbuka dan bersedia memahami apa yang anda perkatakan mengenai dakwah dan mengambil pengajaran daripadanya.

Penerimaannya terhadap dakwah yang anda kemukakan adalah berkadar dengan kejayaan anda memberikan perhatian dan memenangi hatinya di marhalah ini. Sebarang percubaan untuk berbincang mengenai apa-apa tajuk dakwah sebelum melalui marhalah ini mungkin menjadi faktor penolakannya. Marhalah ini mungkin memakan masa beberapa minggu.

2. MARHALAH KEDUA:

Marhalah kedua ialah marhalah membangunkan iman yang lesu di jiwa mad’u. Di peringkat ini, perbincangan mengenai persoalan keimanan tidak perlu dilakukan secara langsung. Adalah lebih baik jika perbincangan mengenainya mengambil pendekatan secara tidak langsung seolah-olah tanpa disengajakan, dengan cara mengambil kesempatan daripada melihat burung, tumbuhan, serangga atau mana-mana makhluk Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan Allah. Di kesempatan tersebut, perbincangan mengenai kekuasaan Allah, kehalusan dan keagungan ciptaanNya dilakukan. Sebagai contohnya, dijelaskan kepada mad’u bagaimana tumbuhan tersebut tumbuh daripada bahagian-bahagian yang berlainan seperti dahan, daun, bunga, buah, warna, bau dan rasa sedangkan ia disiram dengan air yang sama dan ditanam di tanah yang sama.

Firman Allah swt:

“Begitulah perbuatan Allah swt yang membuat dengan kukuh tiap-tiap sesuatu” (An Naml : 88)

Dalam kaedah berdakwah dengan mad’u pada peringkat ini, cuba kaitkan penciptaan Allah dengan teknologi sains yang dicipta oleh ahli sains dan cerdik pandai hari ini. Mampukah manusia mencipta seekor lalat atau seekor nyamuk yang mempunyai nyawa dan habitat tersendiri? Atau adakah manusia mampu mencipta sebiji gandum yang mana apabila gandum ini disiram dan ditanam mampu menumbuhkan batang gandum? Inilah perbandingan yang nyata supaya mad’u berfikir. Allah berfirman di dalam Qur’an:

“Dan mereka memikirkan tentang penciptaan langitn dan bumi seraya berkata: “Ya Tuhan kami! Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka” Ali Imran 191)

Boleh juga dalam kaedah yang lain, naqib atau pendakwah menjelaskan kepada mad’u persoalan kemuliaan yang Allah berikan kepada anak cucu Nabi Adam (manusia); kemuliaan hasil daripada pemberian roh kepada mereka. Kebanyakan manusia alpa dan lupa terhadap kehidupan di aspek ini, dan mereka hanya hidup di aspek penciptaan mereka daripada tanah dan memenuhi tuntutan badan.

Mereka lupa dan alpa bahawa aqidah yang benar dan sejahtera adalah tuntutan asasi kepada roh; padanya terdapat kebahagiaan hidup didunia dan akhirat. Persoalan seterusnya dikaitkan dengan persoalan keimanan. Ketika persoalan ini dijiwanya, dia akan mula menilai semula kehidupannya sebelum ini (mujaraah) dia akan merasakan bahawa sekiranya dia terus berada di tahap lama; alpa, mencuaikan kewajipan, melakukan maksiat dan tidak mentaati Allah, dirinya akan terdedah kepada azab Allah di hari Akhirat; hari yang tiada tempat lari dan penyelamat. Ketika itu, dia akan mudah dipimpin dan diberi tunjuk ajar supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam.

3. MARHALAH KETIGA

Di marhalah ini, kita hendaklah membantunya memperbaiki dirinya dengan cara mengajarnya perkara-perkara ketaatan kepada Allah dan ibadat-ibadat fardhu, membiasakan dirinya melakukannya secara berdisiplin, menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islam.

Kaedah dakwah dengan marhalah ini ialah hadiahkanlah mereka dengan buku-buku yang membincangkan persoalan aqidah, ibadah dan akhlak yang boleh dibaca dan difahaminya. Kemudian ajaklah mereka menghadiri majlis-majlis ilmu dan ceramah-ceramah, mengajaknya berkenalan dengan oran-orang salih dan menjauhkannya daripada oranmg-orang jahat.

Begitulah seterusnya, biah solehah (suasana yang soleh) terus dibina untuk membantu menyempurnakan keperibadian Islamnya. Kita mestilah bersabar dan ikuti perkembangan dirinya sehingga dia benar-benar teguh berada di atas jalan Islam. Ikutilah perkembangan mad’u sentiasa supaya dia sentiasa dipastikan dapat menerima perubahan. Usaha ini akan memakan masa beberapa minggu atau beberapa bulan sehingga keperibadian Islamnya benar-benar mentap tanpa mudah digoyang.

4. MARHALAH KEEMPAT

Marhalah keempat ialah menjelaskan pengertian ibadah yang syumul tanpa membataskannya kepada solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Ia merangkumi seluruh aspek kehidupan; makan, minum, pakaian, ilmu, amal, perkahwinan, bersenam (riadhah), memelihara anak-anak dan lain-lain. Itu semua adalah ibadah kepada Allah swt apabila mencukupi dua syarat: niat kerana Allah swt dan mengikuti syariat Islam semua pekerjaan yang dilakukannya.

a. Niat
Semua yang dilakukan hendaklah hanya kerana Allah semata-mata dan tidak kepada yang lain. Tujuannya adalah untuk menjadikan kita hamba kepada Allah dan merealisasaikan tujuan Allah menjadikan kita sebagai khalifah di atas muka bumi.

Oleh itu kita makan dan minum adalah supaya kita bertenaga untuk mentaati Allah dan beribadat kepadanya.Dengan itu makan dan minum kita menjadi ibadat yang akan diberi ganjaran pahala. Kita menujntut ilmu kerana untuk menjaga kepentingan kaum muslimin maka sewajarnya menuntut ilmu itu adalah ibadat yang tidak diragukan selama mana tidak bercanggah dengan tuntutan syariat. Berkahwinnya kita kerana mahu menjaga diri dari terjebak dengan maksiat dan membina rumah tangga muslim maka rumahtangga ini pasti menjadi suatu ibadat kepada diri kita.

b. menjaga syariat (mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam). Oleh kerana itu kita tidak makan melainkan yang halal sahaja. Kita tidak berpakaian melainkan yang halal dan begitulah segala aktiviti dan pekerjaan yang dilakukan. Contoh yang lain, keluar menuntut ilmu bagi seorang perempuan menjadi ibadat selagi mana ia mengikut syariat seperti berpakaian menutup aurat, tidak bercampur gaul dengan lelaki bukan mahram, berteman dan tidak menimbulkan fitnah. Begitu juga dengan kaum lelaki, bersukan dan beriadhah menjadi ibadah dengan niat yang betul dan betul cara perlaksanaannya seperti menutrup aurat dan menjaga waktu solat. Banyak contoh lain yang boleh dijadikan pekerjaan umum menjadi ibadat dan sebaliknya pula pekerjaan yang betul boleh menjadi maksiat sekiranya tidak mengikuti tuntutan Islam yang betul.

5. MARHALAH KELIMA

Dalam marhalah ini, tingkatan yang diperlukan adalah menjelaskan kepada mad’u bahawasanya tidaklah cukup hanya menjadi Islam pada diri sendiri sahaja, dengan hanya melaksanakan ibadat-ibadat yang tertentu sahaja. Sebaqliknya Islam juga adalah agama yang bermasyarakat. Islam adalah sistem hidup, pemerintahan, perundangan, daulah, jihad, dan ummah. Inilah fahaman yang betul terhadap Islam. Fahaman yang mengajar kita berbagai tanggungjawab dan kewajipan. Kita wajib melaksanakannya sebagai menyahut perintah Allah supaya masyarakat dapat dibina di atas prinsip-prinsip Islam di semua aspek kehidupan; politik, ekonomi, perundangan, kemasyarakatan dan lain-lain.

Kita juga mesti difahami bahawa di antara kewajipan kita terhadap Islam ialah berusaha dan berjuang bersunguh-sungguh supaya Islam berkuasa di muka bumi. Firman Allah Taala:

“… Sehingga tidak ada lagi fitnah dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah semata-mata” (Al Baqarah : 193)

Oleh itu, kita wajib menyampaikan seruan agama ini kepada manusia seluruhnya. Seseorang muslim tidak mungkin hidup sebagai muslim dengan keIslaman yang sahih dan sempurna sekiranya dia mengasingkan diri daripada saudara-saudara muslim yang lain dan tidak mempedulikan ap-a yang berlaku dan dihadapi oleh mereka (saudara-saudara muslim) di berbagai ceruk rantau di muka bumi; tekanan, gangguan, fitnah dan serangan dari musuh-musuh Allah dan musuh-musuh Islam. Rasulullah saw bersabda:

“Barangsiapa yang tidak memperdulikan urusan muslimin maka dia bukanlah dari mereka”

Disekitar pengertian ini perbincangan dilakukan sehingga melahirkan perasaan tanggungjawab umum (mas’uliyah ammah) terhadap Islam dan muslimin di dalam dirinya dan dia tidak lagi mengasingkan diri. Selepas itu dijelaskan kepadanya tuntutan marhalah dakwah Islam pada hari ini yang mewajibkan umat Islam berusaha menegakkan daulah Islam dan mengambalikan khalifah Islam yang telah diruntuhkan oleh musuh-musuh Islam.

Kita terangkan kepada mad’u betapa besarnya musibah yang dihadapi oleh dunia Islam; negara dipecah-pecahkan, umat Islam bertelagah sesama sendiri, musuh-musuh menyerang, aqidah orang-orang Islam tergugat dan digugat, masjid-masjid dirosakkan, berlakunya pencerobohan terhadap negara Islam, harta kekayaan bumi dirompak dan dirampas, dan anak-anak muslimin diracun dengan pemikiran yang liar dan akhlak yang melampaui batasan. Kesemua ini akibat dari tiadanya Daulah Islamiah. Daulah Islamiah inilah sebenarnya yang menjadi payung dan penangkis kepada serangan-serangan musuh dari pelbagai arah.

Mad’u juga perlu dijelaskan bahawa tanggungjawab menegakkan daulah Islamiah bukan hanya terletak pada bahu ulama’ dan pemimpin sahaja, bahkan ia adalah tanggungjawab setiap muslim dan muslimat yang hidup di marhalah dakwah ini. Mad’u juga perlu disedarkan tentang bahayanya umat Islam sekarang tanpa panduan dan pimpinan serta berdosanya umat Islam tanpamenegakkan Daulah Islamiah.

Kesimpulannya marhalah ini adalah permulaan kepada menanamkan benih fikrah perjuangan Isla; iaitulah usaha untuk menegakkan Daulah Islamiah yang akan mendorongnya (mad’u) memanjat tangga marhalah dakwah yang setrusnya yang seterusnya menuntut pengorbanan dan perjuangan.

6. MARHALAH KEENAM

Di marhalah ini penjelasan perlu diberikan kepada mad’u bahwasanya tidakmungkin kewajipan menegakkan daulah Islamiah ini secara fardi (sendiri); setiap muslim tidak akan mungkin dapat mengambalikan Daulah Islamiah dengan secara bersendirian. Ia perlu dijana dan dilakukan secara berkumpulan (berjemaah) / organisasi. Usaha menegakkan Islam secara berjemaah menjadi wajib kerana dengan adanya berjemaah dapatlah usaha dibangunkan untuk menegakkan Daulah Islamiah. Maka berjemaah itu hukumnya adalah wajib.

Kaedah fikah menyebut:-

“Apabila sesuatu kewajipan tidak dapat disempurnakan kecuali dengannya, maka ia menjadi wajib”

Tidak dapat dibayangkan, bagaimana sempurna Islam seseorang itu sedangkan dia hidup seorang diri tanpa melibatkan diri dengan jamaah yang bertujuan melaksanakan prinsip-prinsip Islam dan kewajipannya; prinsip dan kewajipannya yang terpenting pada masa kini ialah usaha yang berteusan dan bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah Islamiah.

Ini adalah perkara pokok (asasi). Kebanyakan muslimin tidak merasakan keperluan yang darudi dalam mewujudkan jemaah, ataupun menggabungkan diri ke dalamnya. Mereka bersikap demikian kerana tidak mahu memikul tanggungjawab, ataupun lebih mengutamakan keselesaan hidup dan menjauhkan diri daripada perkara yang tidak disukai dan mungkin terpaksa dihadapi apabila dia menggabungkan diri ke dalam jemaah. Berdasarkan penjelasan betapa besarnya tanggungjawab terhadap Islam yang terpaksa dipikul dan perlaksanaan tanggungjawab ini tidak dapat disempurnakan kecuali melalui jemaah, maka mad’u akan meyakini darurinya berjemaah sekalipun terpaksa membayar denga harga yang mahal.

Dalam marhalah ini jugalah menanamkan perasaan iltizam dan istiqomah untuk terus berjuang di dalam Jemaah Islam yang mahu menegakkan Dualah Islamiah. Akhirnya mad’u akan merasa cinta dan senang dengan hidup berjemaah dan merasa bimbang takut-takut akan tergelincir dari perjuangan Islam.

7. MARHALAH KETUJUH

Di marhalah ini, akan menjawab dan meraup segala persoalan yang bermain di minda mad’u: Jemaah manakah yang perlu diikuti? Marhalah ini adalah yang terpenting tetapi ia agak sensitif. Ia memerlukan kebijaksanaan, penerangan yang jitu dan memuaskan. Ini kerana, di medan terdapat pelbagai bilang jamaah yang bergerak dan semuanya mengajak para pemuda menganggotainya. Semuanya membawa bendera Islam, mempunyai lambang-lambang dan cara-cara tersendiri untuk menarik para pemuda.

Perkara yang mesti difahami oleh setiap pemuda muslim ialah persoalan amal Islami adalah persoalan asasi dan penentu masa depan.dia mestilah teliti dalam memilih jalan perjuangan mana yang patut dilalui dan diyakini selamat. Dia tidak sepatutnya terikut-ikut atau tergesa-gesa dalam memilih jemaah yang perlu dianggotainya untuk merealisasikan prinsip-prinsip Islam. Ini kerana, dia hanya memiliki satu umur dan satu nyawa. Oleh itu, janganlah dipersiakan begitu sahaja. Sebaliknya, dia hendaklah mengkaji, berbincang, dan memperuntukkan masa dan tenaga yang mencukupi untuk mencari kepastian. Sesungguhnya ketenangan jiwa (melakukan sesuatu dengan yakin akan kebenarannya) adalah lebih baik daripada memilih jalan perjuangan yang salah dan bertindak tanpa kepastian.

Perlu diketahui oleh mad’u bahawa dalam usaha merealisasikan Daulah Islamiah, perkara pokok yang diterapkan oleh Rasulullah saw adalah pemantapan aqidah berdasarkan tuntutan al-Qur’an. Melalui madrasah inilah yang melahirkan Rijalul aqidah (pendokong-pendokong aqidah); aqidah yang mengawal diri mereka, menguasai jiwa dan perasaan mereka. Atas nama aqidah- mereka sanggup mengorbankan masa, tenaga, harta dan nyawa, kesihatan, dan pemikiran mereka. Mereka juga sanggup bertahan dan berkorban, diseksa dan dicerca, dipeangi dan dibunuh. Oleh sebab aqidah mereka yang begitu mantap dan kukuh, segala ujian dapat dihadapi dengan baik dan sabar. Maka usaha seterusnya dilakukan oleh Nabi saw adalah memepertautkan persaudaraan antara sesama mereka. Nabi saw mengambil sumpah dan baiah dalam perjuangan untuk mempertahankan Islam. Ketika itulah Allah mengurniakan kemenangan yang gemilang kerana syarat itu telah dipenuhi.

Dengan ini, Rasulullah saw telah berjaya mewujudkan kekuatan aqidah, kemudian kekuatan kesatuan, dan akhirnya kekuatan tangan dan persenjataan. Ini kerana, apabila terbentuknya kumpulan mukmin yang mantap dan bersatu, maka musuh-musuh Islam mampu dihadapi dengan jayanya.

Namun sebelum terbentuknya kumpulan mukmin yang mantap dan bersatu iaitu ketika bilangan kaum muslimin yang sedikit, Rasulullah saw berpesan supaya mereka bersabar menempuh dugaan dan tetap bersama kebenaran yang mereka imani, serta berterusan menyampaikan dakwah Islam kepada orang lain. Baginda tidak meminta mereka menghadapi kebatilan dengan menggunakan kekuatan.

Oleh itu jamaah yang melalui jalan yang sama (dilalui oleh Rasulullah saw) semestinya menjadi pilihan untuk dianggotai dan didukungi. Mana-mana jemaah yang tidak memberikan perhatian kepada persoalan tarbiah dan persediaan, mengatasi keutamaan kepada persoalan kesatuan dan hubungan, dan juga mengatasi keutamaan kepada persoalan penggunaan kekuatan, maka ia adalah jemaah yang memperjudikan nasib dan masa depannya, dan membahayakan amal Islami. Oleh itu, usaha untuk memegang tampuk kekusaaan menggunakan kekuatan dengan mengabaikan tarbiyah dan kesatuan, ataupun parti-parti politik yang mengabaikan tarbiyah adalah uaha yang merbahaya. Malah mamapu melumpuhkan amal Islami sebelum ia lahir dan berkembang subur secara tab’ie untuk membentuk kumpulan yang mantap (Qaedah Sulbah). Sesungguhnya pembinaan dimulakan dari asas (tapak), bukannya dari puncak (atas).

Mad’u juga mesti dijelaskan bahawa Jemaah yang hendak dianggotai dan didukungi mestilah jemaah yang mengambil Islam secara syumul dan menyeluruh; aqidah, ibadat, akhlak, perundangan, pemerintahan, jihad dan seluruh aspek kehidupan. Ia tidak boleh mementingkan beberapa aspek dan meninggal aspek yang lain dengan alasan keselamatan atau apa-apa sebab yang lain.

Mad’u juga mesti dijelaskan bahawa Jemaah yang perlu dianggotai itu mestilah yang memiliki kemampuan di peringkat antarabangsa. Ini kerana mereka mempunyai faktor-faktor pembinaan kumpulan yang mantap (qaedah Sulbah) untuk Daulah Islamiah Alamiah (Negara islam Sejagat), bukan hanya sekadar pemerintahan setempat di mana-mana negara.

Jemaah yang berpengalaman dan terbukti mampu menghadapi tribulasi adalah jemaah yang paling layak untuk diyakini kemampuannya mencapai matlamat, mendatangkan hasil dengan segera dan pandai menggunakan masa dan tenaga sebaik mungkin. Kefahaman dan tindak tanduknya pula jauh daripada kecuaian dan keterlaluan, jauh daripada penyelewengan dan menjuzuk-juzukkan (ambil daripada bahagian dan tinggalkan beberapa bahagian), selari dengan petunjuk Rasulullah saw dan salafussalih.

Jemaah tersebut juga mestilah jemaah yang tersusun rapi dan bersatupadu serta berjalan mengikut perancangan yang rapi. Ia bukanlah Jemaah yang kucar kacir (perjalanannya tidak menguikut peraturan) atau bergerak secara bidan terjun tanpa perancangan dan penyusunan.

Mad’u juga mestilah dijelaskan bahawa perpecahan dan pengagihan tenaga kepada kumpulan-kumpulan kecil adalah satu kesalahan dan merbahaya. Pada dasarnya, sesiapa yang ingin menyumbang untuk Islam hendaklah bergabung dengan Jemaah yang mempunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di atas. Dia tidak boleh mengangkat bendera baru ataupun membantu Jemaah baru yang setahun jagung pengalamannya. Ini dilakukan supaya dia tidak membantu usaha-usaha memecah-memecahkan tenaga dan usaha. Dia juga tidak boleh memisahkan diri daripada Jemaah Besar yang berpengalaman kecuali apabila dia mendapati jemaah tersebut pada keseluruhannya terdapat kefasikan atau kesesatan.

Secara ringkas, mad’u perlu dijelaskan tentang beberapa ciri jemaah yang perlu diikuti:-

  • Jemaah yang mengutamakan persoalan aqidah (tarbiyah) dan juga kesatuan Ukhwah melebihi persoalan tenaga dan kekuatan.

  • Jemaah yang mengutamakan persoalan Islam secara syumul mesrangkumi aqidah, ibadah, akhlak, perundangan, pemerintahan, jihad, politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain

  • Jemaah yang terbukti memiliki kemampuan di peringkat antarabangsa melalui pengalaman-pengalamannya yang tersendiri

  • Jemaah yang telah mempunyai pengalaman-pengalaman lampau dalam aspek mehnah dan tribulasi.

  • Jemaah Besar yang ramai keanggotaannya – lebih besar lebih kekuatan serta lebih lama penubuhannya asalkan mengikut syarat 1 dan 2 di atas.

  • Jemaah yang tersusun rapi dan bersatupadu serta berjalan mengikut perancangan yang rapi dan bukan jemaah yang kucar kacir (tidak mengikut peraturan)

  • Jemaah yang tidak menggalakkan perpecahan dan pengagihan tenaga kepada kumpulan yang lebih kecil kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan berbilang-bilang jemaah.

Tips untuk keberkesanan Dakwah Fardiyah

1. Hendaklah bersungguh-sungguh, memberikan perhatian, mengikuti perkembangan dan membuat penilaian setelah dakwah Fardiyah dilakukan dalam tempoh tertentu.

2. Pelaksana hendaklah mengetahui uslub, kaedah dan pengertian tentang kesemua kaedah atau marhalah ini.

3. Hendaklah dilaksanakan marhalah-marhalah ini dengan secara tertib dan tidak melanggar adab dan batasan.

4. perbincangan dengan pelaksanaan dakwah fardiyah mengenai ketujuh-tujuh marhalah dan perkara yang berkaitan dengannya seperti dalil atau faktor-faktor yang membantu mad’u menerimanya amat baik dilakukan. Ini adalah untuk memudahkan tugas daie ketika berhadapan dengan mad’u.

5. selain daripada menjelaskan kesucian jalan dakwah dan semua tuntutan, usaha perlu dilakukan untuk menghilangkan keraguan dan kesamaran terhadap amal Islami., tuntutan-tunttutannya dan aktivis-aktivisnya juga mesti dilakukan.

6. Berikan contoh kejayaan dan kebaikan bagi mereka yang menyahut seruan dakwah ini dan bahaya serta dosa bagi mereka yang menolaknya.

7. Para daie mestilah sentiasa tolong menolong dan nasihat menasihati sesama mereka dalam menghadapi cabaran dan rintangan.

8. Hadiahkan mad’u dengan buku-buku dan risalah-risalah yang dapat menggalakkan mereka dengan Islam.

9. keberkatan, taufiq dan penghasilan adalah berkadar dengan keikhlasan, kesungguhan, berlapang dada dan kesabaran.

10. dakwah fardiyah dapat mewujudkan hubungan dan ikatan dengan mad’u. Ini berbeza dengan dakwah am seperti majlis ceramah dan majlis ilmu.

11. dakwah fardiyah adalah dakwah yang praktikal; berdasarkan kepada pengalaman dan pemerhatian.

12. Dakwah fardiyah mendorong para daie menjadi contoh teladan yang baik kepada manusia.

RUJUKAN
1. Dakwah Fardiah. Mustafa Masyhur. Pustaka Salam: Kuala Lumpur, 2001
2. Silibus Usrah umum Peringkat 1. Khairul Rijal bin Arshad. 2001
3. Manhaj Daurah Tadribiyah. Dewan Ulamak PAS Pusat. 2003

Tajuk II – Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Muqaddimah

Amar Ma’ruf Nahi Mungkar adalah suatu usaha yang paling mulia, tinggi kedudukannya, sangat dititikberatkan di dalam Islam. Ianya mesti dilaksanakan agar manusia sentiasa berada di atas landasan yang betul dan tidak menyimpang dari jalan yang sebenarnya. Lantaran itulah jemaah Islam ditubuhkan supaya dapat membimbing hati manusia.

Islam adalah agama samawi yang datangnya dari Allah swt. Islam mementingkan aspek kemasyarakatan dari sudut kekeluargaan, rumahtangga, masyarakat, pergaulan, dan kenegaraan. Islam adalah agama yang bukan hanya mementingkan individualistik (individu tetapi ia mementingkan ummah. Lantaran hidup manusia yang dikenali sebagai golongan yang mudah lupa, lemah dan serba kekurangan, didatangkan para Nabi as sebagai pencetus kebangkitan dan penegur atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Oleh kerana itulah disyaratkan bahawa hukum Amar ma’ruf nahi Mungkar adalah wajib yang tidak boleh dinafikan lagi. Berikut adalah dalil-dalil kewajipan menjalankan amar ma’ruf nahi mungkar.

Dalil kewajipan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Abul -Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Umar bin Abdul-Aziz berkata: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak menyiksa orang-orang umum kerana dosa-dosanya orang-orang yang tertentu tetapi apabila perbuatan dosa itu merahajalela dan terang-terangan kemudian tidak ada yang menegur, maka bererti semuanya sudah layak menerima hukuman.”

Dan diriwayatkan bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan kepada Yusya bin Nun.:

“Aku akan membinasakan kaummu empat puluh ribu orang yang baik-baik dan enam puluh ribu orang yang derhaka.”

Nabi Yusya bertanya: “Ya Tuhan, itu orang derhaka sudah layak, maka mengapakah orang yang baik-baik itu?”

Jawab Allah s.w.t.: “Kerana mereka tidak murka terhadap apa yang Aku murka, bahkan mereka makan minum bersama mereka yang derhaka itu.”

Abu Hurairah r.a. berkata:

“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Anjurkan lah kebaikan itu meskipun kamu belum dapat mengerjakannya dan cegahlah segala yang mungkar meskipun kamu belum menghentikannya.”

Anas r.a. berkata:

“Nabi Muhammad s.a.w. bersabda (yang bermaksud): “Sesungguhnya diantara manusia itu ada yang menjadi pembuka untuk kebaikan dan penutupan dari kejahatan, dan ada juga manusia yang menjadi pembuka kejahatan dan penutupan kebaikan, maka sesungguhnya untung bagi orang yang dijadikan Allah s.w.t. sebagai pembuka kebaikan dan binasa bagi yang dijadikan Allah s.w.t. pembuka kejahatan itu ditangannya.”

BEBERAPA KEPERLUAN KESEDIAAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

1. Keimanan yang mendalam.

Ia bermaksud menganggap Islam itu adalah petunjuk yang benar dan selain dari itu adalah kebatilan. Keyakinan terhadap kebenaran itulah yang menjadi prinsip yang tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Setiap penyelewengan dari prinsip itu adalah kesesatan yang lahir dari nafsu keinginan yang merupakantanda kurang sempurnanya iman.

2. Ilmu yang hak

Ilmu yang dimaksudkan adalah ilmu yang bersandarkan kepada AlQur’an dan AsSunnah yang mulia. Seseorang daie perlu mengetahui segala nas-nas yang berakitan serta hukum supaya ia dapat mengetahui kedudukan sebenar orang yang ingin ditegahnya.

3. Matlamat untuk keredhaan Allah

Tiada yang lebih tinggi dari mendapat keredhaan dan kecintaan Allah. Inilah matlamat setiap para nabi dan Rasul dan juga para sahabat di dalam menempuh amar ma’ruf nahi mungkar ini.

MATLAMAT YANG INGIN DICAPAI MELALUI DAKWAH:

Ada beberapa matlamat umum yang digariskan adalah:-
1. membawa kepada Islam bagi orang yang belum menganut Islam.
2. mempertingkatkan mutu kefahaman dan penghayatan Islam.
3. mendirikan sebuah negara yang diredhai Allah.
4. menuju kepada keselamatan dan kebahagiaan.
5. mendapat Keredhaan Allah.

KAEDAH AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR

Sebagaimana yang disabdakan oleh baginda Nabi saw, iaitu:-

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat akan kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya(kuasanya). Jika sekiranya ia tidak berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya. Dan jika ia tiada juga berkuasa, maka hendaklah ia mengubahnya dengan hatinya. Dan yang demikian itu (iaitu mengubah dengan hatinya) adalah selemah-lemahnya iman”. (HR Muslim)

1. Dengan tangan ( Kuasa / pemerintahan)

Pemerintahan mempunyai kuasa mutlak untuk menegah dan melarang suatu perbuatan mungkar itu. Ia boleh mengubah atau meletakkan hukuman serta pencegahan bagi rakyat atau orang yang di bawah pimpinannya. Oleh itu, pemimpin akan ditanya lebih dari rakyat atau orang biasa di hari akhirat kelak. Justeru itulah jemaah islam wajib mendapatkan kuasa / pemerintahan sebagai batu asas untuk mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar kepada masyarakat di bawahnya.

Dalam konteks kemsyarakatan pula, dengan kuasa bermaksud dengan organisasi yang ditadbir. Sebagai contoh, jika seseoang itu menjadi pengarah syarikat atau organisasi pentadbiran, dia boleh melaksanakan sesuatu arahan contohnya mewajibkan kakitangan atau pekerjanya menutup aurat, berkelakuan sopan, mengasingkan antara lelaki dan perempuan, menepati masa dan sebagainya. Mana-mana perlanggaran kepada syariat Islam bolehlah diambil tindakan.

2. Dengan lidah / ucapan / lisan

Kaedah ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya seseorang atau kumpulan tidak mampu mengubah dengan kuasa- yang beerti ia mesti dilaksanakan melalui kaedah lidah lisan. Banyak cara atau kaedah yang boleh dilakukan dengan cara ini termasuk;

a.) Nasihat / peringatan – sewaktu Nabi-nabi dan Rasul-rasul menjalankan misi dakwah mereka, mereka menggunakan kaedah nasihat atau peringatan tentang ganjaran dan siksa yang bakal manusia itu tempuh di akhirat kelak. Para diae diingatkan supaya menggunakan kaedah nasihat yang baik terlebih dahulu sebelum menggunakan kaedah ancaman. Cara ini boleh dilakukan melalui ceramah, majlis ilmu, penerangan, dan juga secara peribadi (fardiyah)

b.) Penerangan – Ia meliputi aspek yang meluas seperti ceramah, risalah dan majalah, poster, kempen dan sebagainya

c.) Penulisan – ia juga adalah suatu aspek dakwah yang berkesan. Para daie perlu menguasai ilmu penulisan dan sebarkan kepada masyarakat tentang kebaikan Islam, keburukan kemungkaran yang dilakukan. Penulisan adalah berbentuk komentar, risalah, poster, majalah, surat khabar, memorandum dan sebagainya.

3. Dengan Hati (membenci dan tidak meredhai)

Nabi saw menyatakan bahawa ini adalah kaedah yang paling nipis iman bagi umat Islam. Kaedah ini hanya boleh dilakukan setelah berikhtiar melalui kaedah kuasa dan lidah yang tidak memberikan kesan bahkan memudharatkan seseorang daie atau jemaah Islam itu sendiri. Ini beerti seseorang daie tidak dibenarkan sama sekali meredhai maksiat dan kemungkaran tersebut dan berusaha menjauhinya sedapat mungkin dengan membawa bersama pengikut-pengikut ke tempat lain. Ini kerana untuk mengelakkan kemurkaan dan bala Allah swt di tempat tersebut. Namun jika tidak terdaya membencilah sedapat mungkin sambil berdoa supaya masyarakat yang jahil supaya mereka sedar.

STRATEGI MENJALANKAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR.

Strategi adalah sama dengan berdakwah. Ia memerlukan kebijaksaan, ketegasan, iltizam dan semangat serta tidak putus asa dalam menjalankan kerja yang mulia ini. Adakalanya daie perlu bertegas dan melakukan sesuatu yang dianggap keras bagi sesautu perkara atau terhadap segelintir orang. Adalah kerana untuk menyedarkan manusia yang sombong yang tidak mahu mendengar teguran dan nasihat yang baik. Manakala untuk golongan yang mudah dinasihati adalah dengan cara berhikmah dan nasihat yang baik.

Namun tidak diketahui strategi yang paling berkesan selain daripada melakukan amar ma’ruf nahi mungkar secara berjemaah. Ia adalah strategi yang paling baik kerana dengan berjemaah akan mempunyai kekuatan dan sokongan yang ramai.

Tajuk I – Dakwah Dan Tuntutannya

PENGERTIAN DAKWAH

Dakwah secara lughah yang berasal dari Bahasa Arab, yang bermaksud seruan, panggilan, undangan. Secara istilah, kata dakwah beerti menyeru atau mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan menuruti petunjuk, menyuruh berbuat kebaikan dan melarang perbuatan mungkar yang dilarang oleh Allah swt dan Rasulnya saw.

Syeikh Ali Mahfuz – murid Syeikh Muhammad Abduh memberi batasan dakwah sebagai:-

“membangkitkan kesedaran manusia di atas kebaikan dan bimbingan, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, supaya mereka beroleh keberuntungan kebahagiaan di dunia dan akhirat”

Dakwah adalah merupakan sunnah para Nabi a.s. .Mereka menyeru manusia kepada subul-as-Salam (jalan kebahagiaan), menunjukkan manusia kepada jalan yang lurus (sirat-al-Mustaqim), sehingga manusia menerima seruan Allah dan Rasul-Nya. Dakwah Islamiyah berawal dari hati yang sedar bahwa inilah jalan kita, yaitu untuk menyeru manusia kepada Allah sehingga mereka mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW.

Yang menjadi pemisah antara dakwah Islamiyah dengan jalan lain adalah petunjuk Allah yang disampaikan melalui wahyu dan jalan (contoh) yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Musuh kita yang sebenarnya adalah syaitan dan konco-konconya yang menjelma melalui al-hawa’ (hawa nafsu) yang ada di dalam diri kita serta yang lebih nyata lagi adalah dalam bentuk jahiliyah yang zahir. Jahiliyah yang sekecil-kecilnya dari dosa-dosa yang berupa keingkaran hingga kepada al-kabair (dosa-dosa besar), bid’ah-bid’ah yang menyesatkan, nifaq (kemunafikan), serta kekufuran kepada Allah. Jahiliyah inilah yang seterusnya lahir dan menjelma di dalam bentuk keingkaran kepada Allah baik di dalam bentuk undang-undang, negara, masyarakat, dan segala bentuk sistem yang bukan berasaskan Islam.

Dakwah bukanlah semata-mata penentangan terhadap satu golongan, atau parti, ataupun individu,dan sebagainya. Namun merupakan pertarungan yang telah lama ada, yaitu semenjak penciptaan Adam a.s. dan keengganan Iblis untuk mematuhi perintah Allah agar sujud kepada Adam. Pertarungan di dalam dakwah adalah pertarungan antara yang haq dengan yang batil. Inilah pertarungan para Anbiya a.s. semenjak nabi Adam hingga Rasulullah saw. Inilah dia hakikat dakwah yang perlu kita dukung.

HUKUM BERDAKWAH
Hukum berdakwah adalah wajib dan kewajipan ini tertaklif pada setiap muslim dan muslimat di setiap masa. Terutamanya di zaman ini, ia lebih wajib kerana umat Islam pada hari ini terdedah kepada serangan jahat musuh-musuh Allah swt yang bertujuan mencabut teras dakwah Islam dari jiwa umat Islam.

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah satu kemuliaan yang besar kepada pendukung dakwah.

Firman Allah swt:-

Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah swt, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri” (Al Fushilat : 33)

Menyerukan manusia kepada Allah swt menghasilkan pahala dan ganjaran yang besar dan tidak ternilai sebagaimana pengakuan Rasulullah saw:

“Jika Allah swt memberi hidayah kepada seorang lelaki lantaran anda, itu lebih baik bagimu daripada setiap apa yang disinari matahari” (H.R. At Tabrani)

Begitu juga sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Orang yang paling tinggi kedudukannya di sisi Allah pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak berkeliling di muka bumi dengan menasihati orang lain” (H.R. At Thahawi)

Menyeru manusia kepada Allah swt adalah salah satu peringkat (marhalah) yang penting dalam amal Islami yang dilakukan secara bersungguh-sungguh. Ia merupakan marhalah ta’rif (memperkenalkan) yang mendahului marhalah takwin (pembentukan) dan marhalah tanfiz (pelaksanaan).

TUJUAN DAKWAH
1. Mengubah pandangan hidup. Di dalam surah Al Anfal ada menyebutkan tentang tujuan dakwah adalah menyedarkan manusia tentang kehidupan yang sebenarnya. Hidup bukanlah makan, minum dan tidur sahaja.
2. Mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya. Ini diterangkan oleh Allah swt dalam Surah Ibrahim dalam ayat ke-1.
3. Mengajak kepada yang ma’ruf dan mencegah dari perbuatan mungkar. Banyak ayat-ayat Qur’an yang boleh digali menerangkan tentang program amar ma’ruf dan nahi mungkar ini.

MAUDHU’ DAKWAH
Secara umumnya, amudhu’ dakwah ialah ajaran Islam kerana ia merupakan risalah yang dibawa oleh para rasul dan satu-satunya agama yang diredhai Allah. Di antara kandungan dakwah yang perlu diketengahkan kepada masyarakat umum adalah:-

Asas-asas ajaran Islam yang mencakupi persoalan Iman, Islam dan Ihsan.
a) Persoalan iman (aqidah) hendaklah diperjelaskan dalam lingkungan al-Qur’an dan as-Sunnah yang sahih dengan mudah dan jauh daripada penghuraian ahli kalam yang memeningkan kepala. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun iman.

b) Persoalan Islam (fiqh) pula hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada perselisihan mazhab dengan menjelaskan dalil dan hikmah pensyariatan serta mengaitkannya dengan kehidupan. Persoalan yang perlu ditekankan ialah huraian berkenaan rukun-rukun Islam.

c) Persoalan Ihsan (akhlak) juga hendaklah diajar dengan menjauhkannya daripada pelampauan ahli tasawwuf dan penguraian yang tidak memberi manfaat oleh ahli falsafah. Di antara jenis-jenis ihsan yang perlu dihuraikan ialah:

  • Ihsan dengan pengertian muraqabatullah

  • Ihsan dengan pengertian berbakti kepada Allah

  • Ihsan kepada umat Islam dengan cara memperkukuhkan hubungan al-ukhuwwah fillah

  • Ihsan kepada semua makhluk dengan maksud bermuamalah dengan baik bersama mereka.

  • Ihsan dengan pengertian melakukan sesuatu tugasan dengan penuh tekun dan bersungguh-sungguh.

USLUB DAKWAH

Di dalam Al-Quran, ayat yang menyebut perkataan uslub sebenarnya tidak ada. Apa yang ada ialah permahaman yang boleh diambil sewaktu Allah s.w.t. berfirman memerintah manusia menyeru ke jalanNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Al-Nahl: 125)

Apabila persoalan uslub di dalam ayat di atas diletakkan selepas daripada seruan dakwah, ia menunjukkan bahawa uslub adalah perkara kedua.

Perkara paling utama ialah menyeru manusia terlebih dahulu ke jalan Allah, Tuhan yang menciptakan mereka. Kesedaran ini perlu diutamakan terlebih dahulu, barulah berbincang mengenai uslub dakwah.

Perkataaan uslub secara jelas tidak disebut dalam Al-Quran, namun begitu perkataan yang hampir sama dengan pengertian uslub telah disebutkan oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan.” (Al-Ma’idah: 35)

Ayat di atas menggesa orang mukmin supaya bertaqwa dan mencari jalan serta cara yang menyampaikan mereka kepada taqwa. Oleh kerana jalan menuju Allah tidak boleh dinamakan uslub, maka kalimah yang dipakai ialah al-wasilah. Dengan ini al-wasilah lebih luas pengertiannya dari uslub sebagaimana ia juga lebih umum dari pengertian uslub.

Kefahaman Ayat 125 surat Al-Nahl Dari Kacamata Uslub Dakwah

Ayat yang disebut sebentar tadi membuat beberapa garis panduan dalam perlaksanaan dakwah iaitu kewajipan menyeru manusia ke jalan Allah. Penyeruan inilah yang dinamakan dakwah. Dalam proses penyeruan ini hendaklah diketahui cara- caranya, supaya dakwah itu boleh sampai kepada mereka. Inilah yang dikatakan kemahiran dan inilah uslubnya. Uslub dakwah yang dibentangkan secara tidak langsung oleh ayat tadi ialah:

a)Hikmah
b)Nasihat-nasihat yang baik
c)Bertukar-tukar fikiran dengan cara yang lebih baik

USLUB HIKMAH

Uslub hikmah dalam menyampaikan dakwah dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

  • Hikmah yang berhubung dengan sifat-sifat pendakwah di jalan Allah hendaklah bersifat menurut sifat-sifat Nabi seperti benar, amanah, bijaksana dan tabligh, berlaku adil, tidak lekas marah, sabar dan mempunyai pengetahuan serta pengalaman yang luas.

  • Hikmah berhubung dengan isi kandungan dakwah. Ia bermakna pendakwah ke jalan Allah hendaklah menyampaikan isi kandungan dakwah itu dari kandungan Al-Quran dan segala penerangan hendaklah menepati kebenaran serta dalil-dalil yang kuat dan tepat yang boleh mengurangkan keraguan. Kata-kata yang digunakan hendaklah sesuai dengan kemampuan pendengar.

  • Hikmah yang berhubung dengan alat dan strategi dakwah. Segala alat dan strategi yang digunakan betul-betul sesuai dengan tempatnya untuk mencegah berlakunya kerosakan kepada gerakan dakwah itu sendiri.

USLUB NASIHAT YANG BAIK

Nasihat yang baik ialah persanan dan ingatan dengan apa yang disukai oleh orang ramai tentang kebaikan dan mereka bersedia menerimanya dan benci kepada kejahatan serta mereka akan menjauhinya.

Boleh juga difahami dengan nasihat yang baik ialah nasihat yang masuk ke dalam hati dengan halus dan mendalam, menembusi perasaan dan jiwa dengan lembut, kerana berlemah lembut dalam nasihat itu biasanya boleh memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan boleh menjinakkan hati yang liar dan boleh mendatangkan natijah yang lebih baik.

Cara nasihat yang baik bergantung kepada perbandingan di antara iman dan kufur, antara kebaikan dan kejahatan, antara taat dan maksiat, antara halal dan haram. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan ( Rasul-rasul).” (Ali-‘Imran:
137)

USLUB BERBINCANG DENGAN CARA BAIK

Para da’i hendaklah menjalankan dakwahnya dengan mengikuti cara yang lemah-lembut dalam perkataan dan menjauhkan kelakuan yang kasar dan kesat.

Gunakanlah sebaik-baik cara berhubung dengan tujuan untuk menjauhkan pendengar-pendengar yang didakwahkan itu dan merasa bahawa pendakwah itu menyerang aqidah yang mereka mempertahankannya. Perancangan cara begini adalah lebih kuat, berpengaruh dan berkesan. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang-orang yang berlaku zalim di antara mereka; dan katakanlah (kepada mereka) : “Kami beriman kepada (Al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu; dan Tuhan kamu, juga Tuhan kamu, adalah Satu; dan kepadaNyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Al-Ankabut: 46)

Inilah juga firman Allah s.w.t. kepada Nabi Musa a.s. dan saudaranya Harun a.s. ketika mereka diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada Firaun yang sombong. Sungguhpun begitu, Allah s.w.t. memerintahkan mereka supaya berlemah-lembut. FirmanNya yang bermaksud:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. “Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.” (Taha: 43-44)

Apabila Allah s.w.t. menyatakan supaya dalam berbincang mestilah dengan cara yang baik, maka para da’i perlulah membuat persiapan terlebih dahulu dan segi hujah, latihan, teknik, berbincang yang terbaik, supaya lahir seorang da’i yang mempunyai karisma yang tinggi dalam berdiskusi.

Kalau tidak adalah lebih baik jika dia tidak memberikan kesanggupan dari awal semasa proses temujanji dilakukan.
Kalau ia mempunyai fakta yang lengkap dan cukup jitu, maka ia tidak akan mudah panas baran dan melenting apabila dicemuh atau diserang kerana dia tahu peluru yang ada padanya mencukupi serta mampu menjawab semua hujah musuh atau orang-orang yang diseru kepada Islam.

Pendakwah kadang-kadang mudah naik angin dengan berbagai-bagai soalan kerana tiada persiapan. Dia akan bimbang sekiranya persoalan itu mematikan ideanya untuk berhujah.

Boleh jadi ada orang bertanya, jika pendakwah selalu berlembut dan memilih perbincangan dengan cara yang baik maka bilakah masanya akan berlaku keras. Kita menjawab keras boleh berlaku tetapi dalam kadar dan ruang lingkup membalas setara dengan apa yang mereka lakukan.

Kalau dalam peperangan sekalipun Islam tidak cenderung kepada kekasaran tetapi lebih kepada unsur membalas setara dengan apa yang dilakukan. Maka di dalam dakwah sifat ini lebih dituntut kerana peringkat ini ialah peringkat dakwah iaitu seruan dan pemberian maklumat perintah Islam. Manakala, peringkat perang ialah peringkat jihad.

Lagi pula kalau kasar merugikan dan lemah lembut tidak merugikan maka baiklah kita berlaku lembut kerana kita tidak akan cepat kehabisan peluru. Barangkali peluru akan digunakan dengan begitu waspada sekali. Kalau peluru dilepaskan dilepaskan bertubi-tubi dengan begitu kasar sekali boleh jadi kehancuran akan berlaku.

RUJUKAN
1. Prinsip Dakwah dalam Al Qur’an – Hanung Hizbullah Hamda – Jamaah Masjid Al Azhar, Universitas Islam Indonesia, 2003.
2. 12 Kefahaman Terhadap Dakwah Islam – Dari Madrasah Al-Imam Asy-Syahid Hassan Al Banna, 1970
3. Dakwah Fardiyyah. Mustafa Masyhur m/s 9
4. Seribu Seratus Hadis. Susunan Muhammad Faiz Di bawah Tajuk Perintah Beramar Ma’ruf Nahi Mungkar m/s 146
5. Manhaj Daurah Tadribiyah. Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat. m/s 29.
6. Manhaj Daurah Tadribiyah. Lajnah Tarbiyah dan Latihan Kepimpinan PAS Pusat. m/s 77.

Tajuk II – Tarbiyyah Ruhiyyah Dalam Harakah Islamiyyah

MUQADDIMAH

Dalam merentasi perjuangan Islam para pejuangnya dan pendakwah perlu meneliti dirinya dari semasa ke semasa agar mereka dapat melihat di manakah mereka dalam menghayati dan mentaati nilai ajaran Islam yang menjadi intisari dakwahnya kepada masyarakat. Mereka harus meneliti di mana kedudukan diri mereka dalam persoalan iltizam dan commitment terhadap Islam supaya mereka tidak tergolong di kalangan orang-orang yang dinyatakan oleh Allah swt di dalam FirmanNya yang bermaksud:

“Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebaktian sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca al-kitab? Maka tidakkah kamu berfikir?” (Surah Al-Baqarah : ayat 44)

Oleh itu bagi pendokong-pendokong gerakan Islam, Tarbiyyah Ruhiyyah merupakan satu perkara yang penting di dalam merealisasikan kerja-kerja dakwah dan perjuanagnnya. Mereka yang selalu menekankan tarbiyyah ruhiyyah yang diberikan oleh Allah akan kekuatan dan ruh perjuangan untuk terus cekal dan istiqomah di dalam perjuangan ini. Di dapati dalam Sirah bahawa rasulullah saw bersama-sama para sahabatnya membangunkan agama Islam dalam keadaan lemah dan sedikit pada awalnya tetapi mereka mampu untuk menjadi kuasa yang digeruni oleh musush-musuh Islam kerana tarbiyyah yang Rasululah saw terapkan, iaitu Tarbiyyah aqidah dan Tarbiyyah ruhiyyah yang menjadikan mnereka golongan yang tidak pernah gentar dengan kekuatan musuh yang jauh berkali-akli ganda. Inilah istimewanya Tarbiyyah ruhiyyah yang menjadi asset kepada jamaah untuk mendapat kekuatan baru mendepani musuh-musuh Islam dari pelbagai peringkat.

Orang-orang yang benar-benar rugi menurut neraca Islam dai hari Akhirat ialah orang-orang yang rugi dan tidak dapat menyelamat dirinya dari seksaan sekalipun mereka dapat merangkul dunia seluruhnya. Sebaliknya orang-orang yang beruntung mengikut neraca Islam ialah orang-orang yang dapat menyelamatakan dirinya dari seksaan Allah di Hari Akhirat kelak.

Bukankah kita telah mendengar Firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beirman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian Allah apabila kamu mengatakan apa yang tidak akmu lakukan” Surah As-Soff : 2-3)

Justeru dibentangkan beberapa cirri-ciri keimanan yang dapat dijadikan panduan oleh ahli-ahli jamaah supaya sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah swt di dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang.

TARBIYYAH RUHIYYAH

Tarbiyyah Ruhiyyah merupakan tarbiyyah Rabbaniyyah kepada para anbiya’ sebagai persiapan untuk memikul tugas menyampaikan da’wah Islamiyyah dan konsep pentarbiyyahan ini mestilah menjadi panduan kepada rijal hizbullah yang merupakan pewaris anbiya’. Di antara halangan-halangan kepada pendokong gerakan Islam ialah lemahnya aspek ‘tazkiyatunnafs’ di dalam diri mereka. Oleh kerana itu menjadi kewajipan untuk menghidupkan kembali pengabdian kepada Allah melalui ibadat-ibadat hati. Agama Islam bukan sahaja mementingkan aspek lahiruiyyah tetapi ianya juga mementingkan aspek ruhaniyyah, tanpa ada kesinambungan di antara kedua-dua aspek ini agama Islam tidak akan tertegak. Yang dimaksudkan dengan Tarbiyyah Ruhiyyah ialah penyucian diri daripada segala bentuk syirik dan memperkukuhkannya dengan tauhid kepada Allah dengan berpandukan kepada sunnah Rasul saw.

KEPENTINGAN TARBIYYAH RUHIYYAH

Tarbiyyah Ruhiyyah amat penting kepada penyokong gerakan Islam kerana ianya menjadi benteng kepada cabaran-cabaran yang akan ditempuhnya. Tanpanya boleh menjerumuskannya ke dalam golongan orang-orang yang gugur di dalam jalan da’wah. Oleh itu daie mestilah melengkapkan dirinya dengan proses pentarbiyyahan seperti berikut:

  • Ilmu
    Ilmu merupakan pelita kepada kehidupan. Tanpanya bagaimana mahu mendekatkan diri kepada Allah, dalam erti kata Tarbiyyah Ruhiyyah, kerana proses pengabdian kepada Allah memerlukan kepada tafsiran-tafsiran ilmu yang benar. Kurangnya ilmu ditakuti akan disesatkan oleh syaitan dan hawa nafsu sendiri. Nabi-nabi dan rasul-rasul sendiri dibekalkan dengan ilmu (fatanah) yang menjadikan hidup mereka terarah dan terbimbing. Oleh itu para dair perlulah melengkapkan diri dengan aspek keilmuan agar mereka sentiasa terdidik dan mampu membedakan antara kehendak syiatan dan juga kehendak Allah swt. Ilmu mestilah diambil mdan dipelajari dari guru yang mursyid, yang mampu menjjadikan kata-katanya sebagai perbuatan dan amalan harian hidup mereka.

  • Amal di medan (menyampaikan)
    Ilmu yang dipeoleh perlu disebarluaskan dan disampaikan melalui medan dakwah. Kadang-kadang ramai yang terpedaya dengan

CIRI-CIRI KEIMANAN

Di dalam surah At-Taubah Allah swt menerangkan tentang cirri tersebut di dalam firmanNya:

“Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, yang beribadat, yang memuji (Allah), yang mengembara (melawat), yang ruku’, yang sujud, yang menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah berbuat mungkar, dan memelihara hukum-hukum Allah. Dan bergembiralah orang-orang mukmin itu” (Surah At Taubah ayat 112).

1. At-Taibun (orang yang bertaubat).
Sifat pertama yang perlu wujud dalam diri para daie ialah taubat. Para daie dan pejuang Islam haruslah lebih berhati-hati terhadap maksiat- apa sahaja bentuknya daripada musuh-musuh mereka. Dosa-dosa yang dilakukan oleh diri mereka lebih wajar ditakuti daripada musuh-musuh mereka sendiri. Sekiranya berlaku sesuatu yang tergolonga dalam ‘amal maksiat (dan sudah tentu akan berlaku) mereka hendaklah bersegera memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah swt sebagai menyahut seruan Allah swt yang terkandung di dalam firmanNya:

“Dan berlumba-lumbalah kamu kepada keampunan dari Tuhan kalian dan berlumba-lumbalah mencari syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orng yang bertaqwa” (Surah Ali Imran : ayat 133)

Kecenderungan bertaubat menyerah diri kepada Allah dan memohon keampunan daripadanya adalah sifat utama yang dimiliki oleh orang-orang yang beriman. Firman Allah swt:

“Orang-orang yang apabila mengerjakan perbauatan keji atau menganiaya diri sendii lantas mereka ingat akan Allah lalu memohon keampunan terhadap dosa-dosa merek- dan siapakah pula yang berkuasa mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedangkan mereka mengetahui” (Surah Ali Imran: ayat 135)

Keperluan para daie mengawal dirinya darei melakukan maksiat hendaklah meliputi dosa-dosa kecil kerana membiasakan diri memandang remeh terhadap dosa-dosa kecil akan mendorong para pejuang Islam melakukan dosa-dosa besar pula. Ini berpatutuan dengan Sabda Nabi saw yang bermaksud:

“Jauhilah dosa-dosa kecil kerana apabila ia terkumpul pada diri seseorang lambat-laun akhirnya ia akan membinasakannya”

untuk mewujudkan sifat Ta’ibun para daie dan ahli-ahli jamaah hendaklah mempunyai saat-saat di mana ia dapat berbicara dengan dirinya, menilai, mengkritik, dan membersihkannya daripada karat-karat dosa. Dengan cara ini ia telah menyahut panggilan Allah dalam firmanNya:

“Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah megilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan jalan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang mensucikan jiwa itu dan seseungguhnya rugilah orang-orng yang mengotorinya”. (Surah Al-Syams: ayat 7-10)

Sehubungan dengan itu para ulama’ berpendapat bahawa bertaubat dari setiap dosa adalah wajib. Sekiranya maksiat dan dosa itu ialah di antara manusia denagn Allah swt maka taubat memerlukan tiga syarat, manakala dosa terhadap manusia memerlukan empat syarat iaitu:-
i. Meninggalkan dosa-dosa itu dan tidak lagi mengerjakannya.
ii. Menyesali terhadap perbuatan dosa yang telah berlalu.
iii. Berazam tidak akan kembali melakukannya selama-lamanya.
iv. Memohon kerelaan dari orang-orang yang ia pernah zalimi / atau memulangkan hak yang pernah diambilnya. (sekiranya ia bersalah kepada manusia)

2. Al-Abidun

Satu lagi sifat yang harus menjadi amalan para anggota jamaah adalah suka beribadat kepada Allah. Manusia-manusia abid ialah mereka yang beribadah kepada Allah dalam setiap gerak-geri dan tindak tanduk, begitu juga dengan perkataan dan perbuatan mereka supaya dengan itu mereka dapat memenuhi tujuan utama hidupnya sebagaimana Firman Allah swt:

“Dan tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” ( surah Az-Zariyat : ayat 56)

Apabila Allah telah menjadi matlamat kita, sasaran ibadah kita, arah dan matlamat hidup kita maka kita akan berpegang teguh dengan segala perintahNya dalam setiap urusan hidup. Dengan tindak tanduk seperti ini memenuhi dan mengisi pengertian untuk menjadikan kehidupan seluruhnya tergolong dalam ibadah kepada Allah Azzawajalla, sesuai dengan pengakuan:

“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam” (Surah Al An’am: ayat 162)

Apabila berhadapan dengan keterangan yang pasti dari nas maka tidak ada ruang untuk berijtihad. Di hadapan ketentuan syariat yang pasti tiada tempat untuk hawa nafsu. Sesuatu hukum yang ditetapkan oleh Allah swt tidak wajar lagi untuk sesiapa pun berdolak dalik lagi mengenainya.

Ini juga beerti segala tindak tanduk dalam kehidupan manusia samaada dalam konteks individu ataupun dalam hubungan dengan orang lain hendaklah mengikut syariat yang telah ditetapkan oleh Allah kepada hambaNya.

Dengan pengertian yang menyeluruh seperti ini kita dapat beribadah kepada Allah dalam seluruh urusan hidup kita. Dalam pengertian seperti ini juga tidur menjadi ibadah, bekerja menjadi ibadah, berumah tangga, berjalan, mengajar, semuanya mengikut peraturan yang diredhaiNya.

3. Al-Hamidun
Al-Hamidun ialah golongan manusia yang hati-hati mereka sangat peka terhadap nikmat Allah kepada mereka. Lidah-lidah mereka menyatakan kesyukuran dan pujian terhadapnya sedangkan anggota tubuh badan pula mengajukan pengorbanan bagi mencari keredhaan Allah.

Siapakah yang lebih patut dan lebih wajar dari para penda’wah untuk mengucapkan kesyukuran terhadap Allah. Bukankah mereka orang-orang yang mendapat nikmat hidayah dan nikmat iman. Firman Allah swt:

“Tetapi Kami jadikan Al-Qur’an itu laksana cahaya yang denganNya Kami tunjuki siapa yang Kami kehendaki diantara hamba-hamba Kami. Sesungguhnya kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus”. (Surah Al-Syura: ayat 52)

Sesungguhnya nikmat Allah terhadap hambaNya tidak dapat dihitung. Segala sesuatu di dalam alam semesta, segala sesuatu yang dimiliki oleh manusia dan segala sesuatu yang wujud dalam kehidupan menjadi bukti terhadap nikmat Allah yang amat banyak. Allah swt berfirman:

“Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh langit bertingkat-tingkat? Dan menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita? Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebaik-baiknya kemudian Dia mengembalikan kamu ke dalam tanah dan mengeluarkan kamu daripadanya pada hari qiamat dengan sebenar-benarnya”. (Surah Nuh : Ayat 15-18)

Memang segala nikmat ini dan lain-lain lagi yang memenuhi alam semesta menjadi bukti atas kemurahan dan pemberian Allah serta kasih-sayangnya terhadap hamba-hambaNya. Pernyataan terima kasih dan syukur terhadap nikmat itu hanya dapat disempurnakan apabila seseorang itu mempergunakan segala nikmat itu dalam amal-amal yang diredhai oleh Allah yang memberi nikmat tersebut.

Inilah perintah Allah swt di dalam banyak ayat-ayat Qur’an, antaranya:

“Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu nescaya Aku ingat pula kepadamu dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari nikmatKu” (Surah Al Baqarah: ayat 152)

Allah akan meredhai seseorang hambaNya yang memakan sesuatu makanan kemudian ia bersyukur di atas nikmat makanan itu atau hambaNya yang meminum sesuatu minuman kemudian ia bersyukur atas nikmat minuman itu.

Para pendakwah seharusnya memuji dan mensyukuri Allah di dalam masa senang dan susah, di dalam kesempitan dan kemewahan, sehingga mereka termasuk di dalam golongan manusia yang dinyatakan oleh Rasulullah saw sebagai:

“Amat menakjubkan keadaan hidup orang-orang mukmin (dimana) seluruh urusannya membuat kebaikan bagi dirinya. Sekiranya ia mendapat kegembiraan ia bersyukur, maka ia mendapat kebajikan dengannya. Sekiranya ia ditimpa kesusahan dari ujian dan bencana ia bersabar maka ia mendapat kebaikan darinya. Keadaan ini tidak ada di dalam kehidupan manusia lain kecuali bagi orang mukmin sahaja”

4. Al-Saihun
Pengembara di sini ialah pengembaraan penglibatan, pemikiran, hati dan perasaan dengan melihat makhluk ciptaan Allah di langit dan bumi. Pengembaraan pra mukmin adalah pengembaraan menjelajah diri dan segala sesuatu yang disekelilingnya. Allah berfirman:

“Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang beraqal (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya tuhan Kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, peliharalah kami dari api neraka” (Surah Ali Imran: ayat 190-191)

Alangkah perlunya para daie kepada pengembaraan meneroka dan menjelajah alam semesta yang luas terbentang, angkasa lepas dan galaksi bintang-bintang yang memperlihatkan kepada mereka itu betapa keagungan dan kebesaran kekuasaan Allah. Ini tentunya dapat mendorong mereka untuk mentaati Alah dan beribadah kepadaNya.

Alangkah perlunya para daie mengembara kepada pengembaran-pengembaraan meneliti sejarah pertarungan antara kebenaran dengan kebatilan di mana mereka dapat melihat dengan jelas bagaimana kemegahan para taghut, para pemerintah yang zalim dan perancangan musuh-musuh Islam hancur berkecai berhadapan dengan benteng Islam. Mereka pasti insaf bahawa negara yang diasaskan di atas kebatilan usianya tidak panjang sedangkan kuasa yang dibina atas dasar kebenaran ianya kekal hingga hari kiamat. Firman Allah swt:

“Maka berjalanlah kamu di atas muka bumi dan perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul)” (Surah An Nahl: Ayat 36)

Apabila seorang daie meneliti rahsia kejadian-kejadian Allah swt, meneliti dalam dirinya, kehidupan sekelilingnya, pada air, udara, tumbuh-tumbuhan dan haiwan pasti ia melihat keagungan dan kebesaran Allah dalam perbezaan bahasa-bahasa manusia, warna kulit, perangai kecenderungan, keinginan dan rupa paras. Keimanannya pasti akan lebih kukuh dan rasa takutnya terhadap Allah makin tinggi. Begitu juga keimanannya akan semakin mendalam.

5. Al-Raqiun dan As-Sajidun (orang yang rukuk dan sujud)

Manusia yang sering rukuk dan sujud ialah golongan yang mengambil berat soal-soal ibadah mengukuhkan dan memperbaiki hubungan dengan Allah. Mereka ialah orang-orang yang begitu memelihara solatnya sammada dalam saat berdiri, duduk, atau mengiring mereka menjadikan ibadat sebagai bekalan. Firman Allah swt:

“(mereka yang mendapat pancaran Nur Ilahi)- ialah “laki-laki nyang tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak pula oleh jual beli dari mengingati Allah dan (dari) mendirikan solat dan (dari) membayar zakat. Mereka takut kepada suatu hari di mana pada hari itu hati dan penglihatan menjadi gentar dan gemuruh” (Surah An Nur : ayat 37)

Para pendakwah terutamanya pada zaman ini amat perlu mempunyai hubungan dengan Allah sesuai dengan tangungjawab yang dipikul dan cabaran-cabaran besar yang merintangi perjalanan. Kemenangan golongan Al Salaf Al Saleh dan berkembangnya da’wah yang dibawa oleh mereka adalah hasil kekuatan hubungan mereka terhadap agama Allah. Begitu juga kerapnya amalan-amalan mereka dalam melaksnakan amalan-amalan sunat apatah lagi amalan fardhu yang diwajibkan. Allah swt berfirman:

“Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir-akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)” (Surah Az Zariyat: ayat 17-18)

6. Al-Amiru bil Ma’ruf Wanahu Anil Mungkar
Amar Ma’ruf nahi mungkar merupakan tugas utama orang mukmin. Seseorang muslim tidak akan menjadi muslim benarnya selama ia tidak melaksanakan tugas ini dalam lingkungan dirinya, keluarganya, dan masyarakat. Jika tugas-tugas ini diabaikan bagaimanakah para daie akan dapat meletakkan dirinya sebagai pemberi nasihat, penunjuk jalan, pembimbing dan juga sebagai pemimpin.

Amar ma’ruf adalah suatu taklif rabbani (tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah) sebelum ianya menjadi taklif haraki. Taklif rabbani dinyatakan oleh Allah dalam firmanNya:

“Dan hendaklah ada dikalangan kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung” (Surah Ali Imran : ayat 104)

Disamping itu di dalam hadith-hadith nabawi pula terdapat banyak keterangan-keterangan yang memperkukuh dan memperjelaskan lagi keterangan Al-Qur’an tentang kewajipan berdakwah amar ma’ruf nahi mungkar, nasihat dan ingat mengingati supaya mengikut kebenaran. Umpamanya sabda Rasulullah saw:

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya, jika ia tidak mampu hendaklah ia mengubah dengan lidahnya (perkataannya) dan jika ia tidak mampu (juga) maka hendaklah (membenci dan menolak) dengan hatinya dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. Dan selepas itu tidak ada lagi iman walaupun sebesar biji sawi” (Riwayat Muslim)

Rasulullah saw begitu menekankan keperluan melaksanakan tugas ini yang dianggap sebagai kunci kedamaian dan kebahagiaan masyarakat. Rasulullah saw bersabda:

“Demi Allah yang diriku berada dalam kekuasaanNya hendaklah kamu meyuruh yang ma’ruf, melarang kemungkaran (jika tiada) Allah akan menimpakan ke atas kamu siksanya kemudian kamu berdoa kepadaNya tetapi doa kamu tidak akan diperkenankan”

Hakikatnya banyak sekali dalil-dalil daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah yang menegaskan betapa pentingnya umat Islam mengamalkan amar ma’ruf dan nahi mungkar dalam kehidupan. Sebenarnya tujuan Allah dan RasulNya menyuruh kepada perkara yang sedemikian tidak lain supaya membina kesejahteraan umat manusia, supaya manusia hidup dalam rukun damai dan saling ingat mengingatkan antara satu sama lain.

Justeru para daie harus menyedari bahawa di antara syarat penting menjalankan tugas amar ma’ruf nahi mungkar, ialah perlunya mereka menjadi qudwah hasanah contoh tentang da’wah yang menjadi seruannya kepada orang ramai. Menjadi qudwah kepada perkara yang disuruh orang melakukannya dan di dalam perkara yang dilarang orang lain meneruskannya. Sekiranya amalnya berbeza dari kata-katanya maka sia-sialah amalnya dan hilanglah ganjaran untuknya.

7. Wal Hafizuna LiHududillah
Mereka ialah golongan yang berjuang untuik melaksanakan perintah-perintah Allah terhadap diri, dan masyarakatnya. Sekiranya perintah-perintah Allah tidak mungkin dilaksanakan dalam bentuk yang sempurna tanpa kekuasaan dan pemerintahan Islam maka usaha dan perjuangan menegakkan pemerintahan Islam dan memelihara hukum-hukum Allah menjadi satu perkara yang wajib.

Kehidupan para daie hendaklah berlangsung di dalam dua landasan yang seimbang dalam usaha menegakkan hukum-hukum Allah.

Landasan pertama – Ia hendaklah menegakkan hukum-hukum Allah dalam dirinya dan terhadap persekitarannya sedaya yang mungkin. Itulah tanggungjawab individu orang yang mukmin baik laki-laki mahupun perempuan sebagaimana yang difirmankan oleh Allah swt:

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin bila mereka dipanggil kepada Alah dan RasulNya agar Rasul menghukum (mengadili) di antara mereka; ialah ucapan, “Kami mendengar dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”. (Surah AnNur ayat 51)

“Dan tidak patut bagi lelaki yang mukmin dan tida (pula) bagi perempuan yang beriman apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa mendurhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat, dalam kesesatan yang amat nyata” (Surah Al-Ahzab : ayat 36)

Landasan kedua- Para daie hendaklah segera bekerja bagi mencapai matlamat menegakkan dan memelihara hukum-hukum Allah secara keseluruhannya. Iaitu dengan menegakkan Daulah Islamiyyah yang melaksanakan hukum-hukum Allah di dalam pemerintahan. Ini adalah kewajipan dan tanggungjawab ‘amal jamaiy’ yang tidak akan gugur wajibnya dari pundak orang-orang Islam sehinggalah ia terlaksana dan matlamatnya tercapai ataupun para pendokongnya menjadi syuhada’. Allah menegaskan :

“Maka demi Tuhanmu mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau (hai Muhammad) hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang engkau berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya” (Surah An Nisa : ayat 65)

RUJUKAN
1. Bahtera Penyelamat Dalam kehidupan Pendakwah. Fathi Yakan. Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam:1985.
2. Kertas kerja Tafaqquh Fiddien : tarbiyyah Ruhiyyah dan Jihadiyyah dalam Gerakan Islam. Dibentangkan untuk seminar Tahun Akhir (SMART 1) Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz. AGI:SMART, 2003 Kuala Lumpur

Tajuk I – Tasawwur Tarbiyyah Islamiyyah

MUQADDIMAH

Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan diri kepadaNya dan berjihadlah pada jalannya supaya kamu mendapat keuntungan” (Surah Al-Maidah ayat 35)

Dalam ayat diatas Allah memerintahkan manusia mencari segala jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya dan berusaha mendapatkan keredhaanNya. Atas dasar memenuhi tuntutan inilah kefahaman tarbiyyah ditegakkan. Tarbiyyah merupakan segala usaha yang dilakukan kea rah pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah. Justeru, ia melibatkan segala usaha melibatkan pendidikan, pengalaman, penglibatan dalam perjuangan Islam. Kesan persekitaran dan faktor lain yang boleh mentaqarrubkan diri kita kepada Allah.

Allah telah menggariskan dasar-dasar pentarbiyyahan serta uslubnya yang pelbagai dalam Al-Quran. Rasulullah pula telah melaksanakan dasar-dasar pentarbiyyahan ini dengan begitu berkesan. Dari pentarbiyyahan tersebut baginda telah berjaya melahirkan generasi yang benar-benar menghayati Islam serta sanggup memberikan seluruh kehidupan mereka untuk perjuangan Islam.

MATLAMAT TARBIYYAH ISLAMIYYAH

A. MATLAMAT KHUSUS

1. Melahirkan umat muttaqin yang mempunyai ta’alluq billah yang kuat
Ini bermaksud Tarbiyyah islamiyyah bertujuan melahirkan satu generasi para duat yang bertaqwa dan bersungguh-sungguh melaksanakan tugas perjuangan Islam. Taaluq billah bermaksud tarbiyyah Islamiyyah bermatlamat melahirkan para mukmin yang hidup dan matinya, ibadah dan pengorbanannya untuk Allah.

2. Melahirkan insan muttaqin yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah
Tarbiyyah Islamiyyah adalah program melahirkan insane muttaqin yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka adalah golongan manusia yang benar-benar cintakan Allah dan berlumba mendapatkan keampunan dan syurgaNya. Mereka juga benci dan takut dilemparkan oleh Allah ke neraka jahannam.

3. Melahirkan para mukmin yang menghayati perjuangan
Mukmin yang menghayati perjuangan ialah orang-orang yang perasaan, percakapan dan tindakan mereka telah dikuasai oleh kesungguhan terhadap perjuangan. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sesunguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu untuk berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang benar” (Surah Al—Hujurat : 15)

B. MATLAMAT UMUM
1. Beribadah kepada Allah swt yang Esa mengikut syariat yang diwujudkan oleh Allah swt seperti mana firmanNya yang bermaksud:
“Dan ingatlah tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu” (Surah Az Zariyat : 56)

2. Menjadi khalifah Allah swt di atas muka bumi. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) ketika Tuahnmu berfirman kepada malaikat: “sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang kahlifah di bumi” (Al-Baqarah : 30)

Ekoran daripada itu, maka penciptaan manusia oleh Allah bertanggungjawab memakmurkan bumi ini dengan segala perancangan dan poembangunan sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah swt.

1. Berkenal-kenalan dan berbaik-baik dikalangan manusia.

Allah swt berfirman:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami teloah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)”. (Surah Al- Hujurat :13)

Oleh kerana itu, manusia hendaklah berkasih-sayang sesama mereka, bantu membantu antara satu samal lain dan seterusnya ingat-mengingati serta pesan-memesan sesama mereka dalam perkara kebaikan.

2. Memimpin dan memerintah dunia ini.

Firman Allah swt:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi; sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengambangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka menggantikan ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka”. (Surah AnNur: 55)

Ayat ini menerangkan kepada kita bahawa Allah swt menjanjikan golongan beriman dan beramal soleh dari kalangan manusia akan dikurniakan kuasa pemerintahan di atas muka bumi ini. Pada waktu itu manusia dapat menjalankan urusan harian dan berbakti kepada Allah swt dalam suasana yang aman.

3. Menjalankan syariat Allah swt di bumi ini.
Matlamat dan tujuan seterusnya manusia dijadikan oleh Allah swt ialah untuk menjalankan syariat Allah di muka bumi ini. Ini merupakan matlamat yang sangat besar dan masyhur. Ia merupakan intisari kepada segala matlamat yang lain. Banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menerangkan kepada kita tentang perkara ini. Antaranya ialah firman Allah swt:

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar)” (Surah Al Jathiyyah : 18)

C) MATLAMAT TARBIYYAH DARI SUDUT KEAHLIAN DAN KEANGGOTAAN

Matlamat tarbiyyah Islamiyyah dari sudut keanggotaan dan keahlian adalah untuk melahirkan:

1) para anggota yang memahami atau bersedia untuk memahami Islam dan perjuangannya sebagaimana yang digariskan di bawah:

a) Hendaklah ia memahami bahawa Islam itu ialah agama yang lengkap, merangkumi seluruh bidang kehidupan manusia samaada aqidah dan syariah ataupun agama dan negara. Oleh kerana itu, ia mestilah bersedia untuk membetulkan aqidahnya, ibadahnya dan lain-lain selari dengan kehendak al-Qur’an, al-sunnah, ijma’ dan qias.

b) Ia mestilah memahami bahawa al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ dan Qias itu merupakan rujukan utama umat Islam. Pendapat sesiapa juapun yang berlawanan dengan sumber-sumber tersebut tidak boleh dihormati dan dipatuhi malah tidak perlu dipertimbangkan langsung.

c) Manakala pendapat para pemimpin yang tidak berlawanan dengan sumber-sumber tersebut hendaklah dihormati.

d) Perselisihan pendapat dalam perkara furu’ adalah perkara kecil dan tidak perlu dielakkan. Oleh itu setiap muslim yang belum mencapai martabat ijtihad hendaklah menerima dan memakai mana-mana pendapat alim ulamak yang muktabar dan janganlah menjadikannya sebagai punca perpecahan di kalangan anggota.

e) Setiap anggota mestilah faham bahawa dia tidak boleh mengkafirkan seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah selama mana dia beramal dengan tuntutan dan kehendak dua kalimah syahadah tersebut dan selama mana dia tidak mengeluarkan kata-kata yang menjadikan seseorang itu keluar dari Islam.

2) setiap anggota hendaklah jujur dan ikhlas dalam perjuangan dan semata-mata kerana Allah. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah:”sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam” (Surah Al-An’am: 162)

3) Setiap anggota hendaklah bekerja dengan gigih untuk menjayakan matlamat perjuangannya. Allah swt berfirman:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad); beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan” (Surah At-Taubah : 105)

Setiap anggota perlulah menunaikan tanggungjawab masing-masing. Terdapat beberapa peringkat Tarbiyyah:
1). Peringkat awal hendaklah dia membetulkan dirinya supaya menjadi insan yang soleh, badan yang sihat lagi kuat, cara berfikiran baik, pekerti mulia, aqidahnya betul, ibadahnya sah, pandai menjaga masa, bermanfaat kepada diri sendiri dan masyarakat.

2). Peringkat kedua ialah membentuk keluarga (rumahtangga) secara muslim (baitul Muslim). Bagi yang belum berkeluarga hendaklah memilih pasangan yang soleh seyterusnya mendidik anak secara Islam.

3). Peringkat ketiga adalahmemperbaiki masyarakat supaya menjadi sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya sebuah ajaran Islam yang dipandu dan dipimpin oleh sebuah kerajaan Islam.

4) Setiap anggota hendaklah mengetahui bahawa mereka dikehendaki berjihad. Dia mestilah mengetahui bahawa berjihad adalah suatu fardhu yang diwajibkan secara berterusan sampai hari kiamat. Ketahuilah bahawa serendah-rendah martabat jihad ialah ingkar dengan hati, setinggi-tingginya ialah berperang pada jalan Allah dan ditengahnya ialah engkar dengan lisan dan dengan kata-kata.

5) Setiap anggota hendaklah memahami bahawa dia mestilah bersedia untuk berkorban jiwa dan harta demi untuk agama Allah swt yang tercinta ini. Allah swt berfirman:

“Sesungguhnya Allah swt telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah. Lalu diantara mereka ada yang membunuh dan ada ayang terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam kitab Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa)jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar” (Surah At-Taubah : 111)

6) Setiap anggota hendaklah taat dan patuh kepada arahan pucuk pimpinan dan melaksanakannya samaada sewaktu senang atau susah, sama ada dia bersetuju atau sebaliknya. Ketahuilah bahawa perjuangan itu melalui 3 peringkat iaitu ta’rif, takwin dan tanfiz

7) Setiap anggota hendaklah tetap pendirian. Dia mestilah terus berjuang walaupun memakan masa yang panjang. Allah swt merakamkan ayat di dalam firmanNya:

“Diantara orang-orang yang beriman itu, ada yang menepati apa yang mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur (syahid), dan di antaranya ada yang masih menungu-nunggu, dan mereka tidak sedikitpun berubah janjinya” (Surah Al Ahzab: 23)

8) Setiap anggota hendaklah membersihkan fahaman pemikiran dari segala unsur yang tidak Islam. Ingatlah tidak ada yang lebih baik selain dari Islam yang diperjuangkan itu. Islam adalah ciptaan Allah yang tidak ada setanding dengannya.

9) Setiap ahli jamaah mestilah merasakan bahawa anggota-anggota yang lain itu adalah saudaranya, saudara seaqidah yang hubungannya lebih kuat dari saudara keturunannya (menjaga ukhwah).

10) Setiap anggota hendaklah memberi kepercayaan (thiqah) yang tidak berbelah bahagi antara satu sama lain terutamanya terhadap pimpinan.

D) PRINSIP TARBIYYAH ISLAMIYYAH

1. Tarbiyyah Islamiyyah adalah perkara wajib kerana ia merupakan agenda terpenting Rasulullah saw dan kerja utama Rasulullah saw dan juga nabi-nabi dan rasul-rasul yang terdahulu.

2. Tarbiyyah Islamiyyah perlulah berlandaskan kepada keikhlaan kepada Allah swt, iaitu mengajar dan mempelajari ilmu pengetahuan kerana Allah swt semata-mata, bukan kerana material atau kerana matlamat lain yang bukan mencari keredhaan Allah swt.

3. Tarbiyyah Islamiyyah itu tidak terikat dengan masa dan umur. Ia dilakukan secara terus menerus bermula daripada kandungan yang baru dilahirkan sampailah kepada berpindah kea lam kubur. Tidak ada seorang pun yang boleh mendakwa dirinya sudah sempurna, paling alim dan bijak. Ini kerana ilmu yang Allah swt bekalkan kepada manusia adalah sangat terhad dan sedikit Cuma berbanding dengan ilmu Allah swt yang tidak bertepi.

4. Tarbiyyah Islamiyyah berjalan di atas prinsip al takamul (lengkap melengkapi) anatar ilmu dengan iman. Iman mengajak manusia mencari ilmu, manakala ilmu pula mengajak manusia beriman. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba- hambanya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha pengampun” (Surah Al Fathiir : 28)

5. Tarbiyyah Islamiyyah itu mengajak supaya bersikap tidak terus menerima apa sahaja yang dipusakai daripaa generasi yang lalu melainkan sudah dibuat kajian yang teliti dan dipastikan bahawa ia benar. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya.” Katakanlah (wahai Muhammad) “Seungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang tidak kamu mengetahuinya?” Al-A’raf : ayat 28)

E) ELEMEN PENTING TARBIYYAH ISLAMIYYAH

1. Tauhidullah (mengesakan Allah)
Ini mendorong tindakan bersifat tajarrud iaitu bersih dari sebarang ideoogi dan pengaruh mana-mana pihak. Ia juga berupaya menentukan unsure-unsur jahiliyyah dan menegakkan Islam atas keruntuhannya.

2. Nubuwwah (berlandasakan apa yang dibawa oleh para Nabi)
Ia membezakannya dengan tarbiyyah Jahiliyyah yang berdasarkan aqal semata-mata.

3. Al-Hasyr wal Jaza’ (hari manusia dikumpulkan dan diberi pembalasan)
Tarbiyyah Islamiyyah tidak meletakkan dunia sebagai matlamat akhir tetapi ia tidak memutuskan rantaian dunia dan akhirat.

F) RUANG LINGKUP TARBIYYAH

1. Tarbiyyah Aqliyyah
Mendidik dan mengajar ahli memimpin akal untuk berfikir, memberi pandangan dan tafaqquh dalam ilmu serta boleh merancang berlandaskan sumber-sumber utama.

Tuntutan kepada ahli:
a) melatih akal supaya boleh berfikir dan merancang untuk keperluan gerakan

b) menghindarkan diri dari budaya taqlid daripada orang lain atau orang terdahulu.

c) Mendidik akal mengkaji sumber-sumber syariah dan melatih diri mengaplikasikannya berdasarkan keperluan dan kesesuaian semasa.

d) Berlatih mendengar dan meraikan pandangan ahli, mempertimbangkan pandangan tersebut barlandaskan asas Islam.

e) Sentiasa menjadikan sumber asas Islam sebagai makanan akal.

f) Berlatih untuk mengembangkan pemikiran (pemikiran terbuka).

2. Tarbiyyah Khuluqiyyah (tingkah laku)
Akhlak itu meliputi seluruh sudut kehidupan. Ia meliputi kawalan nafsu, benar dalam percakapan, ihsan dalam amalan, amanah dalam muamalat, berani dalam memberi pandangan, adil dalam menghukum, berazam untuk kebaikan dan sebagainya. Terdapat beberapa elemen penting dalam Tarbiyyah Khuluqiyyah yang harus diaplikasi oleh setiap ahli:

  • Sabar – sabar dengan apa jua keadaan walaupun dalam keadaan susah, senang, suka, sedih dan sebagainya

  • Thabat (tetap pendirian) – istiqomah dan iltizam dengan perjuangan. Perlu menjadikan Rasulullah saw sebagai qudwah hasanah.

  • Amal (berwawasan) – mempunyai azam untuk menaikkan Islam dan memberi pengharapan terhadap kejayaannya, tidak berputus asa dalam perjuangan Islam.

  • Mencurahkan tenaga – gigih dan berusaha dalam menggerakkan jamaah. Tidak kedekut dalam menyumbangkan masa, tenaga, harta, kebahagiaan keluarga hatta diri sendiri untuk jamaah

3. Tarbiyyah Jihadiyyah (Jihad)
Tarbiyyah Jihad merangkumi iman, akhlak, ruh, usaha bersama kawalan dan latihan dan tindakan. Menanam ruh jihad termasuklah jihad nafsu, harta, jiwa dan masa. Oleh itu tarbiyyah jihad mencakupi:

  • Kefahaman

  • Akhlak

  • Iman

  • Persediaan ruh

  • Persediaan mental

  • Persediaan jasad

  • Persediaan keperluan (instrument)

4. Tarbiyyah Ijtimai’e
Firman Allah swt yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah tuhan kamu dan berbuatlah kebaikan supaya kamu beruntung. Dan berjuanglah (di jalan Allah) dengan perjuangan yang sebenarnya” (Surah Al Hajj : 77-78)

Perkara yang perlu dilakukan oleh ahli-ahli jamaah adalah:

  • Sebagai pengubah masyarakat

  • Membuat pemusatan untuk memberi khidmat dalam apa jua keadaan sekalipun, sama ada memberikan ta’lim, latihan dan rawatan dalam penjagaan masyarakat kepada penunjuk agama.

  • Memberikan komitmen yang penuh kepada gerakan Islam dalam menjalani kerja-kerja dakwah dan mahir dalam merancang strategi dakwah.

5. Tarbiyyah Fizikal
Tarbiyyah ini membawa matlamat:

  • Kesihatan fizikal dan menyelamatkannya dari penyakit

  • Kekuatan anggota fizikal dan boleh berfungsi bila-bila masa

  • Menjana kekuatan fizikal dengan mempelbagaikan medan perjuangan

6. Tarbiyyah Siyasah
Tarbiyyah siasah memberi perhatian kepada pembentukan bangsa daripada pengabdian diri kepada ideologi kepada ketaatan kepada Allah swt. Ia menitikberatkan perkara hukum, peraturan daulah, hubungan kerajaan dengan musuh, kaitan antara muslim dan non-muslim dan seumpamanya. Justeru gabungan antara tarbiyyah siyasah dan tarbiyyah agama perlu dibina agar tidak berlaku pemisahan. Maka harus ke atas ahli untuk:

  • Kuatkan kesedaran dan sensitiviti dalam membebaskan bumi Islam daripada kuasa kafir dan munafik

  • Mengumpulkan sebanyak mungkin kemahiran dan skil pembinaan siasah Islamiyyah

  • Menjalin hubungan baik dengan pemerintah serta non-muslim yang lain menampilkan asas agama secara praktikal

  • Merancang tindakan dan aktiviti selaras dengan kehendak syariat

  • Memberikan pengisian ringkas tentang kesyumulan Islam dalam program siasah.

G) TARBIYYAH DALAM HARAKAH ISLAMIYYAH
Harakah Islamiyyah perlu menekankan aspek Tarbiyyah kerana tarbiyyah merupakan asas paling utama dan tulang belakang bagi sesebuah harakah Islamiyyah. Sesebuah harakah Islamiyyah seharusnya mewujudkan unsur-usnur yang mampu melahirkan ahli jamaah yang mempunyai sifat-sifat berikut:

  • Berkebolehan memimpin, membimbing dan mentarbiyyah ummah.

  • Berkemampuan untuk menyampaikan dan mempertahankan fikrah Islam yang didokong oleh Harakah Islamiyyah

  • Kritikal dan tidak menjadi pengikut semata-mata

  • Mempunyai pandangan yang mendalam terhadap waqi’

  • Berpandangan jauh.

  • Menghayati tuntutan amal jamaie

H) UNSUR-UNSUR HARAKAH ISLAMIYYAH
Manhaj Tarbiyyah merupakan perencanaan yang digunakan sesuatu harakah untuk dalam proses pentarbiyyahan ahlinya. Manhaj itu perlu merangkumi unsur-unsur berikut:

1. Marhalah tarbiyyah
Rasulullah saw melakukan pentarbiyyahan berperingkat terhadap sahabat disebabkan perbezaan kemampuan dan tabiat mereka. Hassan al Banna sebagai pembawa tajdid dalam gerakan Islam menggariskan tiga marhalah Tarbiyyah:
a) Marhalah ta’rif: satu tahap pembersihan aqidah
b) Marhalah takwin : proses pembentukan rijal ad-dakwah
c) Marhalah Tanfiz : memastikan ahli yang ditarbiyyah berkualiti dari sudut praktikalnya.

2. Tarbiyyah melalui murabbi
Peranan murabbi perlu untuk membimbing dan memerhatikan peningkatan ilmu dan kefahaman, pembentukan syakhsiyyah serta penerusan amal yang diredhai Allah.

3. Tadrij
Kaedah ini perlu dilaksanakan dalam Tarbiyyah. Kemampuan menentukan tahap penekanan tarbiyyah ahli harakah perlu dimiliki oleh murabbi berdasarkan kawalan di setiap marhalah. Tidak semua ahli disamakan pengisian tarbiyyah sebaliknya berdasarkan pencapaian mereka pada setiap marhalah.

4. Tawazun
Keseimbangan tarbiyyah antara jasadiyyah dengan ruhiyyah amat perlu untuk mengelakkan terjadinya ahli yang terlalu memberi tumpuan kepada aspek tertentu sahaja.

I) MATLAMAT TARBIYYAH DARI SUDUT JAMAAH (HARAKAH)
Tujuan tarbiyyah dari sudut jamaah antara lain bolehlah disimpulkan kepada perkara-perkara berikut:
1) Membekalkan jamaah dengan faktor kemanusiaan yang mempunyai kelayakan di bidang-bidang berikut:

  • Bidang dakwah dan penerangan

  • Bidang amal dan harakah

  • Bidang pengurusan dan pentadbiran

  • Bidang kerja politik

  • Bidang sosial dan kemsyarakatan

  • Bidang kerja ekonomi

  • Bidang akademik

  • Bidang pendidikan dan pembinaan

  • Bidang sukan

2) Membekalkan jamaah dengan tenaga kepimpinan yang baik, yang sudah dilatih dengan matang agar tenaga-tenaga itu dapat ditempatkan pada tempat-tempat yang diperlukan antara lain:

  • Kepimpinan di bidang kerja fardi dan jamaie

  • Kepimpinan di bidang kerja sosial

  • Kepimpinan di bidang kerja politik, ekonomi, pengurusan, pentadbiran, pendidikan dan lain-lain.

  • Membekalkan jamaah dengan faktor-faktor kemanusiaan yang mampu menangani urusan yang berkaitan dengan jamaah-jamaah yang bersimpati dengan harakah atau jamaah-jamaah yang bermusuh dengannya.

  • Membekalkan jamaah dengan faktor-faktor kemanusiaan yang mampu memanjangkan fitrah jamaah kepada generasi-generasi yang akan datang.

KESIMPULAN

Kelemahan tarbiyyah menyebabkan kelemahan ummah. Sebuah harakah yang lemah menggambarkan kekuatan tarbiyyahnya. Oleh kerana itu Tarbiyyah perlu menjadi makanan utama penggerak harakah Islamiyyah, dihadamkan dan diberikan secara sepenuhnya. Akibat dari kelesuan tarbiyyah atau gerakan tarbiyyah yang tidak mendasar secaramenyeluruh akan menjadikan pendokong-pendokong atau penggerak-penggerak jamaah menjadi buntu, hilang punca, lari dari jamaah dan timbullah penyakit-penyakit yang mewabak yang merosakkan jamaah seperti dengki, khianat, futur, riya’, cintakan pangkat, kemegahan, darjat dan sebagainya.

RUJUKAN:
4. Kertas Kerja tasawwur tarbiyyah Islamiyyah (UM)
5. Manhaj Daurah Tadribiyyah

Tajuk III – Konsep Hazar (Kerahsiaan) Dan Kepentingannya Dalam Perjuangan Islam

PENGERTIAN HAZAR

Hazar pada bahasa memberi makna menjaga, mengumpul, dan menghimpun, tersembunyi, tersimpan dan hati-hati.

Kesemua pengertian hazar pada bahasa ini membentuk pengetiannya dari segi istilah, iaitu suatu sikap berhatihati dengan menjaga dan menyimpan maklumat-maklumat serta himpunan rahsia dari segi perkara yang menakutkan dan dari orang-orang yang benci kepadanya. Sikap ini disebut dalam bahasa sebagai waspada.

Perkataan hazaran, (pecahan-pecahannya) disebut sebanyak 21 kali di dalam 12 surah di dalam al-qur’an. 4 surah daripadanya adalah Makkiyah sementara 8 lagi adalah Madaniyyah. Kesemuanya ini memerlukan kepada satu pemerhatian yang lain.

SALAH ANGGAP TERHADAP WASPADA / HAZAR

Dari maksud pengertian di atas, dapat disimpulkan bahawa waspada itu sebenarnya bersumberkan ilmu pengetahuan terhadap sesuatu. Dalam erti kata lain ialah sesuatu sikap yang akan diambil ekoran dari tuntutan waspada adalah didasarkan kepada satu kajian mengenai sebab dan akibat juga kesan terhadap akibat yang menimpa. Ini bukan berlaku secara membabi buta.

Sikap waspada juga adalah bertunggakkan perancangan jamaah yang berusaha mengurangi akibat yang menimpa jamaah dan diri individu dalam jamaah.

Waspada bukanlah yang mendorong orang kian takut untuk menjalankan kerja-kerja Islam. Waspada bukan membuatkan orang berputus asa dan menyerah kepada takdir. Sebaliknya waspadalah yang menjadikan seseorang semakin cekal untuk ‘amal Islami’, sebab dia tahu jatuh bangun kerjanya melalui pengalaman yang panjang dan perancangan yang teliti. Namun demikian perlu diingatkan kepada anggota gerakan bahawa kewaspadaan haruslah kena pada tempatnya.

Akibat dari mengambil sikap yang terlalu berhati-hati akan menyebabkan seseorang menjadi takut bayang-bayang sendiri. Inilah yang perlu dielakkan kerana ini bukanlah sifat terpuji, bahkan ia adalah sifat yang keji. Ramai penggerak-penggerak harakah Islamiyyah yang tertipu dengan ungkapan berhati-hati dan berwaspada yang menyebabkan akhirnya mereka tidak boleh bergerak, keluar dari kepompong kehinaan, kejahilan dan kelemahan. Bahkan akibat terlalu takut ramai dikalangan penggerak Islami ini yang lari dari medan pertempuran dan jihad yang menjadi kewajipan mereka. Lihatlah betapa ramai yang beralasan untuk tidak berjuang dalam gerakan Islam kerana takut dipecat, diambil tindakan, terikat dengan akujanji dan seumpamanya, yang semuanya bermain dengan alasan.

Oleh itu, hazar dengan maksud di atas adalah merupakan sifat yang terpuji, sifat orang beriman dan berakal yang mengetahui sebab akibat. Orang-orang jahil, mereka tidak mengetahui hazar, mereka menjadi berani tidak bertempat, takut tidak berwaktu. Orang-orang jahil dan orang kafir tidak mengamalkan hazar kerana mereka tidak pernah mengalami kesukaran sepertimana yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam.

Orang-orang jahil yang saban harinya diulit dengan kesenangan, kekenyangan, dan kemudahan tidak ada apa yang ditakuti, kegiatan mereka juga tidak ditakuti dan dicemburui kerana mereka tidak pernah membawa panji-panji dakwah Islamiyyah. Tetapi lihatlah apa yang dialami oleh pejuang-pejuang Islam, sejak zaman Nabi a.s., Nabi saw sendiri sehinggalah kepada zaman mutakhir para pejuang Islam akan sentiasa diburu, dibunuh, dipenjarakan, diseksa, ditekan dan ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan. Inilah yang mendewasakan pejuang Islam dan dengan amalan hazar ini akan menjadikan gerakan Islam sentiasa bernafas dan bergerak setiap zaman.

PERINTAH MENJAGA HAZAR.

Perintah menjaga hazar dapat digali dalam sirah baginda saw, iaitu yang masyhur adalah ketika baginda berhijrah ke madinah bersama-sama sahabat setianya Abu Bakar r.a. para ulama’ berpendapat bahawa tindakan Nabi saw berhijrah bersama-sama dengan Abu Bakar r.a. dalam keadaan hazar (berwaspada) dalam suasana malam dan sunyi, yang mana tempat tidurnya diganti oleh Saidini Ali r.a. adalah tindakan yang septutnya diambil oleh manusia biasa yang lainnya.

Inilah sunnah yang perlu diikuti oleh setiap penggerak harakah Islamiyah iaitu mengambil langkah berhati-hati mengelakkan dari ditangkap oleh musuh-musuh. Nabi saw mengamalkan hijrah dalam keadaan rahsia walaupun baginda sentiasa dipelihara oleh Allah menunjukkan bahawa taktik dan strategi sirr dan hazar adalah sunnah yang patut diamalkan, berbeda dengan tindakan Saidina Umar r.a. yang berhijrah dalam keadaan mengisytiharkan dirinya dalam keadaan pedang terhunus, bukan juga menunjukkan tindakannya adalah keterlaluan ataupun jahil, tetapi sebagai petanda bahawa Umar memiliki keistimewaan tersendiri.

Selain itu dalam Al-Qur’an Allah swt berfirman:
“Jika engkau Muhammad berada di antara mereka yang Islam, lalu ingin mendirikan solat bersama-sama mereka, maka hendaklah segolongan dari mereka berdiri solat besertamu dan menyandang senjata, kemudian apabila mereka (yang solat bersamamu) sujud (telah menyempurnakan satu rakaat), maka hendaklah datang golongan kedua yang belum bersembahyang, lalu bersembahyanglah mereka denganmu dan hendaklah mereka bersiap siaga dan menyandang senjata. Orang-orang kafir ingin supaya kamu lengah terhadap senjatamu dan harta bendamu, lalu mereka menyerbu kamu dengan sekaligus, dan tidak ada dosa atasmu meletakkan senjata-senjatamu, jika kamu mendapat sesuatu kesusahan kerana hujan atau kerana kamu menanggung sakit, dan siap sedialah kamu. Sesungguhnya Allah telah menyediakan azab yang hina bagi orang-orang kafir.” (An-Nisa’ : 102)

ayat di atas dengan tegas menunjukkan wajib berhazar dengan diterangkan kaedah dan cara-cara berwaspada, diperintahkan memegang senjata dalam solat, diperintahkan agar kaum muslimin yang lain berdiri di belakang orang-orang yang sedang sembahyang agar memelihara mereka dari serangan musuh. Kaum muslimin dibahagikan kepada dua kelompok, satu kelompok mengerjakan sembahyang dan satu lagi kelompok menjaga mereka.

Diterangkan juga orang-orang kafir ingin melalaikan kaum muslimin dan berusaha menghancurkan mereka sekaligus. Semua ini membuktikan wajib hazar dari sesuatu yang tidak disenangi.

Firman Allah swt :

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman berwaspadalah kamu dan majulah (ke medan pertempuran) bersama-sama” (An-Nisa’ : 81)

Perintah ini ditujukan kepada kaum muslimin agar berjihad terhadap orang-orang kafir, berperang pada jalan Allah dan berusaha mempertahankan agama dan diperintahkan kepada orang yang berkemampuan untuk menyebarkan dakwah. Mereka juga diperintahkan supaya tidak menyerang musuh membuta-tuli, tetapi harus terlebih dahulu mengetahui apa yang dimiliki oleh musuh dan mengetahui bagaimana cara menolak serbuan mereka. Itulah kaedah pertahanan yang baik.

HAZAR DAN KEPENTINGANNYA DALAM PERJUANGAN ISLAM

Bentuk-bentuk hazar dalam perjuangan dapat dibahagikan kepada dua bentuk:
1. Hazar terhadap musuh luaran
2. Hazar terhadap musuh dalaman

Hazar terhadap musuh luaran ialah waspada terhadap orang-orang kafir dan munafik yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam. Kerosakan yang menimpa kaum muslimin akibat perbuatan orang-orang munafik mengikut sejarah Islam amat besar. Kadang-kadang menghadapi mereka adalah lebih sukar kerana orang-orang kafir jelas nyata permusuhannya terhadap Islam, sedangkan orang-orang munafik menyembunyikan permusuhan mereka, jangan sama sekali mempercayai kata-kata manis mereka bahkan harus berusaha menutup pintu di hadapan mereka serta berusaha menghancurkannya. Allah swt berfirman tentang sifat orang-orang munafik dan harus waspada menghadapi mereka.

“Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum, dan jika mereka berkata-kata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu tersandar. Mereka mengira bahawa setiap teriakan yang keras ditujukan kepada mereka. Mereka itulah musuh (yang sebenarnya). Maka waspadalah terhadap mereka, semoga Allah membinasakan mereka. Bagaimanakah mereka dipalingkan dari kebenaran” (al-Munafikun : ayat 4)

HAZAR TERHADAP MUSUH DALAMAN

1. Waspada dari kemaksiatan
2. Waspada dari mengikut hawa nafsu
3. Waspada dari keluarga dan anak-anak.

1. Waspada dari kemaksiatan

Firman Allah swt;

“Dan Allah mewaspadakan kamu terhadap diriNya” (Ali Imran : 28)

Mewaspadakan di dalam ayat tersebut ialah mempertakutkan dengan siksaanNya apabila kamu mengerjakan kemaksiatan lantaran kemaksiatan itu menyebabkan kemurkaan Allah dan membatalkan pertolonganNya.oleh itu, pendakwah harus merasa takut dan waspada dengan turunnya azab Allah, terhentinya bantuanNya dan terbatal setiap bentuk pertolonganNya.

Da’ie perlu sentiasa berpegang teguh kepada Allah, menyerah dan bertawakkal kepadaNya serta menjauhi diri dari kemurkaanNya. Ingatan daie harus terus menerus kepada Allah tanpa ada rasa riya’, suka dipuji dan ujub.

2. Waspada dari mengikut hawa nafsu

Pendakwah tidak sewajarnya mengikut dorongan nafsu yang menyeretnya meninggalkan kebenaran atas alasan ramainya pengikut, meluasnya dakwah dan sebagainya.

Firman Allah swt:
“ Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka mengikut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka, dan berhati-hatilah kamu terhdapa mereka, supaya mereka tidak memalingkan kamu dari sebahagian peraturan yang Allah turunkan kepadamu” (Al-Maidah: ayat 49)

3. Waspada dari keluarga dan anak-anak
Cinta kepada keluarga dan anak-anak kadangkala menjadi fitnah dan penghalang kepada daie untuk berjihad dan berdakwah atas alasan berada di tengah-tengah keluarga adalah tenang dan tenteram.

Justeru, setiap tipudaya keluarga harus disingkirkan lantaran tuntutan jamaah adalah lebih aula dan hak.

Firman Allah swt:
“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isteri dan anak-anak kamu ada yang menjadi musuhmu. Maka hendaklah kamu hazar dari mereka” (At Taghabun : 14)

PENUTUP
Semoga perbincangan ringkas ini memberikan kesedaran kepada kita akan peri pentingnya hazar dalam gerak kerja dakwah. Kesilapan yang lalu tidak perlu diulangi dan segala pengalaman perlu dipelajari. Kita perlu menyedari bahawa musuh-musuh Islam sentiasa mengepung dan sentiasa mengintai-intai peluang untuk menghancurkan Islam dari segenap penjuru.